Hasil kepakaran UMPSA kontinjen negara raih emas dan Best of Nation dalam Digital Construction
TAIPEI, 30 November 2025 – Hasil daripada bimbingan intensif dan sokongan Pengarah Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (Pusat BIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron, yang juga Ketua Pakar Negara bersama Eksekutif Teknikal Pusat BIM, Ts. Muhammad Syaiful Safwan Nordin, selaku Pakar Negara dan tenaga pengajar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading, Mohamad Fazil Jamaluddin merangkap Jurulatih Negara menjadi faktor penentu kejayaan negara alumni KKTM Sri Gading, Muhamad Nashrul Zulkifli berjaya meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai Best of Nation bagi Skills 58 – Digital Construction di Pertandingan WorldSkills Asia (WSA) yang berlangsung di Taipei.
Kejayaan ini tambah istimewa kerana Digital Construction dipertandingkan buat kali pertama dalam sejarah WSA, sekali gus menandakan kemampuan negara untuk bersaing pada peringkat global dalam era digitalisasi industri pembinaan.
Malah, ia juga membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja memiliki bakat muda yang berpotensi tinggi, tetapi juga universiti yang mampu menyediakan platform latihan berstruktur dan kepakaran antarabangsa, sekali gus meletakkan negara di peta kemahiran Digital Construction Asia.
Menurut Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi, pertandingan kali ini bukan sahaja menuntut kemahiran teknikal tahap tinggi tetapi turut menguji ketahanan mental peserta.
“Cuaca sejuk di Taipei memberi cabaran ketara kepada keselesaan, menyebabkan gangguan rehat dan tekanan emosi peserta.
“Malah, beberapa insiden kecil turut berlaku termasuk kemalangan ringan ketika mandi akibat paip air panas.
“Selain itu, wujud cabaran komunikasi apabila peserta perlu berinteraksi dalam bahasa Inggeris dengan pakar negara-negara lain sepanjang pertandingan,” katanya.
Dari sudut teknikal pula ujarnya, beberapa soalan pertandingan dianggap tricky dan memerlukan kemahiran berfikir secara kritis selaras dengan keperluan Test Project serta BIM Execution Plan.
“Walau bagaimanapun, kekuatan peserta terbukti menjadi pemangkin kejayaan negara iaitu dengan latihan intensif serta sistematik yang diberikan membolehkan Nashrul menguasai komponen Digital Construction dengan lebih mantap.
“Pengalaman bekerja dalam bidang BIM turut membantu memperkukuh keyakinan dalam melaksanakan tugasan di bawah tekanan.
“Nashrul seorang peserta yang rajin, mudah dibimbing dan sentiasa komited terhadap arahan latihan, sekali gus mempercepatkan penyerapan kemahiran yang diperlukan,” katanya.
Tambahnya, kejayaan ini tidak dapat dipisahkan daripada peranan UMPSA yang menjadi tunjang utama pembangunan bakat Digital Construction di Malaysia.
“Melalui Pusat BIM UMPSA, institusi itu bukan sahaja memainkan peranan besar sebagai ketua penganjur teknikal dalam menyediakan Test Project, senarai infrastruktur pertandingan serta dokumen strategik seperti Skill Management Plan, malah menjadi pusat kecemerlangan negara bagi bidang Digital Construction.
“UMPSA turut terlibat dalam pembangunan modul WorldSkills, penyediaan rangka kerja kemahiran pembinaan digital, latihan peserta negara serta pengurusan peralatan, penaja dan rakan kerjasama industri.
“Pasukan ini membawa pengalaman luas daripada penyertaan terdahulu seperti WorldSkills Lyon 2025 dan Belt & Road International Skills Competition di Chongqing,” jelasnya.
Ts. Muhammad Syaiful Safwan menyifatkan kemenangan Malaysia sebagai sesuatu yang amat mengharukan kerana ia menjadi bukti jelas kemampuan bakat tempatan bersaing setaraf negara maju seperti Korea, Jepun dan China.

“Pemilihan peserta dibuat menerusi pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) yang dianjurkan Kementerian Kerja Raya dengan Nashrul muncul juara kebangsaan sebelum menewaskan pesaing serantau dalam ASEAN TVET Friendly Match 2025.
“Kekuatan Malaysia terletak pada gabungan pengalaman UMPSA dalam projek BIM sejak 2014, kepakaran teknikal serta metodologi latihan berstruktur yang disesuaikan dengan standard pertandingan antarabangsa.
“Sepanjang persiapan, pasukan berdepan cabaran besar termasuk keperluan kompetensi tinggi merangkumi ISO 19650, penyediaan deliverables, koordinasi model serta pengurusan maklumat industri,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, jadual latihan yang ketat turut menuntut pengorbanan masa yang besar, memerlukan keseimbangan antara tugas kerja, sesi pengujian dan latihan teknikal.
“Penyediaan strategi pertandingan juga menjadi keutamaan kerana format penilaian berbeza daripada amalan industri sebenar.
“Latihan intensif dijalankan secara dalam talian serta fizikal, dengan penggunaan video pra-rakam, penilaian berkala dan penempatan peserta secara sepenuh masa di KKTM Sri Gading dua minggu sebelum ke Taipei sebagai pecutan akhir.
“Dalam menilai prestasi Malaysia berbanding negara lain, beliau menjelaskan bahawa Nashrul menunjukkan tahap ketepatan teknikal dan disiplin yang sangat tinggi.
“Setiap tugasan diselesaikan dengan strategi yang dirangka secara harian, menjadikan peserta sentiasa bersedia untuk modul seterusnya,” ujarnya.
Kemenangan emas dan Best of Nation menjadi simbol keupayaan Malaysia menjadi penanda aras baharu, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi dan pelaburan dalam pembangunan bakat Digital Construction.
Kejayaan ini membawa makna besar kepada Malaysia kerana ia mengesahkan bahawa pembangunan bakat dan ekosistem BIM negara berada pada landasan yang betul.
Bagi UMPSA, ia menonjolkan keupayaan universiti sebagai peneraju dalam melahirkan tenaga mahir berkualiti tinggi serta menyumbang kepada agenda Industry 4.0 di peringkat nasional.
Ts. Muhammad Syaiful Safwan menambah, Nashrul dilihat sebagai contoh pelapis generasi baharu yang mampu menggalas keperluan industri yang semakin menuntut tenaga kerja mahir dalam BIM terutama selepas keluarnya pekeliling kerajaan yang mewajibkan penggunaan BIM bagi projek awam bernilai RM10 juta ke atas.
“Pasukan teknikal negara kini memberi tumpuan untuk memperincikan kelemahan, memperkukuh strategi latihan dan membangunkan pipeline bakat lebih tersusun untuk generasi seterusnya.
“UMPSA melihat keperluan meningkatkan kerjasama industri, memperkukuh modul latihan, serta memperluas penyertaan bakat muda agar Malaysia dapat mengekalkan momentum sebagai negara kompetitif dalam Digital Construction,” katanya.
Tambahnya, masa depan bidang ini di Malaysia dalam lima hingga sepuluh tahun akan datang sangat progresif dengan peningkatan penggunaan BIM, integrasi Digital Twin, IoT, AI dan automasi dalam pengurusan projek.
“Malaysia dijangka melahirkan lebih ramai pakar tempatan, meningkatkan penyertaan dalam pertandingan global dan membina industri pembinaan yang lebih produktif, efisien dan didorong data.
“Generasi muda perlu sentiasa berani mencuba, rajin belajar dan konsisten membina kemahiran kerana kejayaan dalam Digital Construction menuntut pemikiran sistematik, penguasaan standard dan disiplin latihan yang tinggi.
“Dengan semangat dan ketekunan, mereka bukan sahaja berpotensi mencapai kejayaan, malah mampu menjadi pemimpin masa depan dalam transformasi digital negara,” katanya.
Penghargaan turut dirakam kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku agensi utama, serta CIDB MyBIM Centre dan BIMAGE Consulting sebagai penaja yang telah banyak membantu menjayakan persiapan pasukan negara, manakala KKTM Sri Gading berperanan sebagai pusat latihan pecutan akhir yang menyediakan fasiliti serta sokongan teknikal yang diperlukan, serta Pertubuhan BIM Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan CIDB Malaysia, rakan-rakan serta ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan tanpa jemu.
Kejayaan ini turut menjadi pemangkin kepada persediaan Malaysia ke pertandingan lebih besar iaitu WorldSkills Shanghai 2026.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 2 views
Reports by: