Skip to main content

Inisiatif UMPSA dan industri rancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi berimpak

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) giat mengumpulkan Dana Endowmen sebagai satu inisiatif jangka panjang yang bertujuan untuk menyokong penyelidikan, inovasi dan pembangunan akademik di UMPSA melalui sumbangan berterusan daripada individu, tokoh korporat , industri dan organisasi.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan UMPSA mengukuhkan kedudukan universiti ini sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ASEAN yang berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan yang berkualiti tingggi.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, matlamat dana endowmen ini adalah bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi bertaraf global dan membantu membantu pembiayaan projek akademik dan pembangunan universiti.

"Inisiatif ini mampu mengukuhkan jalinan kerjasama yang lebih erat di antara UMPSA dengan pihak industri dalam pelbagai sektor bagi membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, latihan industri, penempatan pekerjaan dan pembangunan modal insan.

"Dalam usaha memperkukuh keupayaan penyelidikan negara dan melonjakkan inovasi ke tahap yang lebih tinggi, penubuhan Kursi Penyelidikan Khas terutamanya dalam bidang-bidang kritikal serta berimpak tinggi ini adalah langkah strategik yang amat diperlukan.

“Kursi penyelidikan ini bukan sahaja akan menerajui penyelidikan perintis dalam bidang-bidang utama, malah akan menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi baharu penyelidik dan inovator negara,” ujarnya sewaktu ditemu bual penyampai TV9, Irfan Ali, dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di Media Prima hari ini.

Inisiatif UMPSA dan industri rancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi berimpak

Tambah beliau lagi, UMPSA sebagai sebuah universiti Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan sentiasa bergerak ke hadapan dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, membimbing penyelidik muda serta menjalin kerjasama strategik dengan industri dan agensi kerajaan bagi menyelesaikan cabaran negara dan global.

"Secara tidak langsung ia menggalakkan kerjasama erat antara universiti, industri dan komuniti. 

"Lain-lain yang ditawarkan adalah Endowmen Biasiswa, Kebajikan dan Pembangunan Mahasiswa, Endowmen Komuniti dan Endowmen Alumni," katanya. 

Pihaknya turut berharap usaha ini mampu memperkukuh hubungan dengan industri, meningkatkan kestabilan kewangan, dan menyokong pembangunan pendidikan tinggi yang lebih berdaya saing.

Selain itu, dapat menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar serta memastikan kelestarian kewangan universiti dalam jangka panjang.

Justeru, menerusi usaha yang digerakkan pihak Yayasan UMPSA dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi , pihak universiti mempelawa mana-mana individu dan tokoh korporat, syarikat korporat mahupun badan bukan kerajaan dapat menyokong inisiatif ini melalui sumbangan endowmen.

Usaha ini juga selaras dengan Agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dan seiring dengan Amanat Naib Canselor 2025 bagi Iltizam Enam: Kelestarian Kewangan yang menekankan strategi mampan meningkatkan kestabilan kewangan universiti.

Dalam pada itu, UMPSA bakal mengadakan Majlis Santapan Petang Tuanku Canselor UMPSA Bersama Industri yang akan berlangsung pada 26 September 2025 bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur sebagai menghargai kerjasama industri-akademia dalam pelbagai bidang yang menyokong pembangunan pendidikan dan inovasi.

Kunjungan Profesor Dr. Yatimah ke Media Prima disambut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima, Nini Yusof bersama pengurusan Media Prima. 

Hadir sama Editor Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, Head Regional Direct Solutions , Zulkifle Ali dan lain-lain.

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri