Inovasi kepimpinan dalam pengurusan krisis era kebiasaan baharu
PEKAN, 8 Julai 2021– Lebih setahun berdepan pandemik Covid-19 menyaksikan perubahan secara total terhadap aspek kehidupan kita hari ini.
Setiap orang mempunyai peranan yang besar untuk sama-sama membantu kerajaan dalam melandaikan lekuk graf Covid-19 ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Dalam masa yang sama, setiap rakyat mahupun penjawat awam terpaksa merubah landskap kerja dengan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai norma baharu bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Cabaran baharu keselamatan negara yang melibatkan ancaman kesihatan menuntut penglibatan agensi kerajaan dan kementerian bertindak secara bersepadu melalui pengemblengan tenaga bersama petugas keselamatan dan keselamatan di lapangan.
Pastinya ia menuntut inovasi kepimpinan terhadap pengurusan krisis dalam era kebiasaan baharu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Mohamad Azhan Md Amir, selain Majlis Keselamatan Negara (MKN), NADMA juga bertindak sebagai penyelaras dalam menguruskan bantuan dengan teratur, menyelaras tindakan pengoperasian dan pengurusan logistik bagi memenuhi keperluan barisan hadapan dan orang ramai.
“NADMA memikul bertanggungjawab yang besar untuk menguruskan bantuan bersama-sama dengan agensi lain dalam memberi kesejahteraan kepada masyarakat.
“Sebagai pemimpin, pihak kami perlu bijak bertindak pantas dalam membuat keputusan yang tepat dalam menangani pelbagai situasi yang ditempuhi.
“NADMA turut menguruskan Tabung Covid-19 untuk membantu mereka yang positif atau kontak rapat kepada pesakit.
“Pelbagai cabaran dihadapi pasukan ini dalam menguruskan bencana dan sebagai barisan hadapan kami sentiasa bersiap siaga,” katanya yang berkongsi mengenai tajuk ‘Inovasi Kepimpinan dalam pengurusan Krisis Era Kebiasaan Baharu’ bersempena Webinar Bersiri Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Siri 2).
Program secara dalam talian itu dianjurkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI) baru-baru ini.
Program turut menampilkan Presiden Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (MASTI), Yang Mulia Raja Shah Erman Raja Arifin.
Profesor Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir berkata, APM berfungsi sebagai pakar rujuk, meneraju penyelidikan data, wadah pemikir, dengan membekalkan input dasar atau khidmat nasihat dalam pelaksanaan dasar sentiasa bersedia mengembeling para ilmuan untuk menyumbang idea dan pendapat pada negara dalam pelbagai bidang.
“Norma baharu ini kita perlu lebih efisien dalam menempuhi perubahan strategik agar tidak menjejaskan produktiviti.
“Justeru, sebagai pemimpin bukan sahaja perlu berinovasi dalam pengurusan malah perlu sentiasa bersedia dan menambah nilai agar mencapai tahap yang dikehendaki selaras dengan IR 4.0 juga pendigitalan,” ujarnya.
Bagi Yang Mulia Raja Shah Erman Raja Arifin pula sebagai pentadbir kita dapat lihat hikmah di sebalik pandemik Covid-19 iaitu pihak pentadbir telah banyak membangunkan pelbagai sistem pengurusan modal insan di dalam kampus.
“Pastinya kita tidak menjangkakan keadaan ini berlaku begitu pantas, namun setelah lebih setahun kita menempuhinya, saya dapat lihat semua universiti telah menerima norma baharu ini dengan sebaiknya.
“Kami sentiasa menyokong semua strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam inisiatif pemulihan negara.
“Sebagai Universiti Awam (UA) juga, kita turut bersedia dalam membantu sama ada untuk dijadikan pusat sehenti atau menjadi pusat latihan kepada komuniti setempat bagi mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara memandangkan sumber ada tersedia di universiti,” katanya.
Program itu telah dikendalikan oleh Pegawai Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Mohd Zaki Ahmad yang bertindak sebagai moderator.
Seramai 350 orang hadir menyertai program yang berlangsung menerusi aplikasi Google Meet dan Facebook PPTI.
Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar bin Wan Yusoff dan Pemangku Pengarah, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Madya Dr. Yazrina Yahya.
Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Mansor Othman.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat dan mengharapkan kerjasama ini dapat memartabatkan dan menyebarluaskan ilmu terutamanya kepada kepimpinan di IPT dalam menangani dan menguruskan risiko
Tambahnya, menerajui kepimpinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada hari ini merupakan satu cabaran yang besar buat seluruh warga KPT terutamanya dalam membuat keputusan yang tepat bagi menjamin kelancaran tindakan.
“Bagi menjamin kelancaran operasi pencegahan Covid-19, KPT tidak terkecuali menyumbang tenaga dan kemudahan fizikal dalam membantu PPN sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19 yang diumumkan baru-baru ini.
“Selain itu, KPT juga giat membantu kerajaan dalam program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui pewujudan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) yang sehingga kini melibatkan 18 buah PPV IPT yang sedang beroperasi seluruh negara,” ujarnya.
Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 360 views