Skip to main content

International Plogging@Pantai Lagenda kumpul 894.6kg sisa

PANTAI LAGENDA, PEKAN, 2 Oktober 2026 - Sebanyak 894.6 kilogram sisa berjaya dikumpulkan menerusi program International Plogging@Pantai Lagenda yang disertai 150 peserta sepanjang laluan kira-kira 500 meter di Pantai Lagenda, di sini, hari ini.

Program anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu adalah dengan kerjasama Pusat Transisi Iklim dan Risiko Bencana, Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan (YPSM) serta IMT-GT.

International Plogging@Pantai Lagenda kumpul 894.6kg sisa

Program yang berlangsung bermula dari jam 8 pagi hingga 11 pagi itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Antartika  sebagai usaha memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar di peringkat serantau.

Pengarah SDC UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain berkata, program ini juga  merupakan  sebahagian daripada jaringan kerjasama Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) dan dilaksanakan  bersama Prince of Songkla University (PSU), Thailand dan Universitas Syiah Kuala (USK), Indonesia di lokasi masing-masing

“Aktiviti ini memberi peluang kepada warga universiti yang terdiri staf dan pelajar dengan  mengamalkan gaya hidup sihat sambil menyumbang secara langsung kepada usaha pemeliharaan alam sekitar.

“Penglibatan peserta dalam program berkenaan membuktikan bahawa aktiviti ini merupakan  usaha pemuliharaan alam sekitar bagi menghasilkan impak positif kepada komuniti dan kawasan setempat.

“Aktiviti kutipan sisa hari ini  ini berjaya mengumpulkan sebanyak 894.6 kilogram pelbagai sisa,” ujarnya. 

Daripada keseluruhan sisa yang dikutip, sebanyak 297.2 kilogram terdiri daripada plastik, 29 kilogram getah, 77.3 kilogram kaca dan seramik, manakala 491.1 kilogram lagi adalah sisa lain-lain.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA merangkap Ketua Projek Geran Penyelidikan Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan (YPSM), Profesor Madya Ir. Dr Muhamad Zahim Sujod berkata, penganjuran program ini mempunyai kaitan rapat dengan Sambutan Hari Antartika yang menekankan kepentingan memahami perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.

“Antartika mempunyai peranan penting dalam sistem iklim dunia. 

“Perubahan yang berlaku di benua itu mempunyai kaitan dengan perubahan iklim global yang turut memberi kesan kepada ekosistem dan kehidupan manusia.

“Justeru, usaha menjaga alam sekitar di peringkat tempatan, termasuk mengurangkan pencemaran dan mengurus sisa dengan baik, merupakan antara langkah yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu perubahan iklim dan kelestarian alam,” katanya.

Tambah beliau lagi, aktiviti seperti plogging boleh menjadi medium pendidikan tidak formal yang menghubungkan tindakan masyarakat di peringkat setempat dengan isu alam sekitar pada skala global.

Turut hadir menjayakan program,  Eksekutif Alam Flora Pekan, Rohani Md Isa serta petugas- petugas daripada SWCorp  dan Alam Flora.

International Plogging@Pantai Lagenda kumpul 894.6kg sisa

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)

Foto: Hafizatulazlin Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim