Jelajah Prihatin UMPSA cakna keperluan pelajar yang bakal mendaftar
KUALA LUMPUR, 18 September 2025– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni pelajar baharu yang berkeperluan sebagai inisiatif dan memudah cara urusan pendaftaran mereka pada 27 September depan.
Kunjungan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang turun padang menyantuni keluarga Mohamad Afiq Mohd Azmi membawa semangat buatnya untuk mendaftar masuk ke UMPSA pada minggu hadapan.
Mohamad Afiq Mohd Azmi menerima tawaran program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kimia dan Proses (FTKKP) baru-baru ini.
Menurut ibunya, Maslinda Musa 53, pelajar lepasan Kolej Vokasional (KV) Setapak ini pernah menyimpan niat untuk belajar di UMPSA setiap kali melintas lalu di hadapan UMPSA Kampus Gambang.
Malah, beliau juga pernah berpeluang berkunjung melawat university ini dalam siri lawatan pihak KV ke UMPSA.
“Semuanya seperti mimpi apabila menerima panggilan telefon daripafa staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang menyampaikan hasrat untuk berkunjung ke rumah,” katanya yang ditemani suami, Mohd Azmi Ismai,53, dan anak-anak.
Beliau pada awalnya berhasrat untuk membuat pinjaman bagi menampung pengajian anaknya, namun tidak menyangka doanya dimakbulkan dan dipermudahkan urusan pendaftaran masuk universiti.
Ujar Afiq yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik-beradik, beliau melahirkan rasa bersemangat dan teruja untuk mendaftar pada 27 September depan.
Bagi Profesoir Dr Yatimah, UMPSA sentiasa cakna dan peka akan keperluan mereka mendaftar sehinggalah bergraduasi kelak terutamanya terhadap kebajikan sepanjang pengajian.

“Pelajar berpeluang mendapatkan bantuan yang disalurkan kepada pelajar yang berkelayakan seperti Dermasiswa B40 TVET, Bantuan Komputer Riba dan Biasiswa Sulung, zakat serta lain-lain bantuan buat pelajar berkeperluan.
“Melalui kerjasama erat Kementerian Pendidikan Tinggi, JHEPA, Yayasan UMPSA, fakulti dan rakan-rakan kolaborasi strategik, Skuad Ziarah Prihatin UMPSA telah digerakkan bagi membantu memudah cara urusan kewangan dan pendaftaran di UMPSA,” katanya.
Beliau turut menyampaian bantuan tunai awal pengajian dan kit bantuan Yayasan UMPSA dalam meringankan beban keluarga pelajar terutamanya di awal pengajian semasa melangkah masuk ke menara gading.
Sehingga kini, seramai 50 bakal pelajar berkeperluan telah dikenal pasti oleh pihak JHEPA dengan disusuli Program Ziarah Prihatin untuk mengenaplasti keperluan pendaftaran pelajar termasuk pengangkutan ke universiti.
Tambah beliau lagi, usaha ini akan diperluas ke seluruh negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Profesor Dr Yatimah turut berdukacita dan menzahirkan rasa simpati terhadap bencana yang menimpa penduduk Sabah.
Justeru, pihaknya juga telah menghantar sumbangan bantuan bencana berupa 1,000 pek makanan sedia untuk dimakan (ready to eat) jenama UMPSA menerusi pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) khusus untuk mangsa bencana banjir dan tanah runtuh termasuk pelajar UMPSA dan keluarga yang terkesan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 114 views
Reports by: