Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Pahang sokong usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi
PEKAN, 11 November 2023 - Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Pahang anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang serta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dikunjungi lebih 4,000 pengunjung daripada komuniti setempat yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan orang awam.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib yang mewakili Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, Menteri Besar Pahang hadir bagi merasmikan karnival tersebut.
Beliau berkata, perubahan landskap pendidikan negara yang memberi penekanan kepada pembelajaran bidang Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pendidikan Sains, Teknologi, Inovasi dan Matematik (STEM) adalah berlandaskan kepada peralihan trend global yang mula berpaksikan sains, teknologi dan digital.
“Peralihan utama yang disaksikan di dalam Pelan Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0) yang melanda seluruh dunia, merupakan isyarat jelas bahawa pendekatan dalam aspek pendidikan perlu berubah dalam menyediakan sumber tenaga manusia yang berkemahiran tinggi bagi menjamin daya maju dan daya pengeluaran sumber modal insan yang dapat mengisi keperluan masa hadapan.
“Negara perlu melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang TVET dan STEM yang diintegrasikan dalam bidang pendidikan negara di peringkat pengajian tinggi mahupun di peringkat permulaan pendidikan tertieri.
“Justeru, inisiatif ini amat penting untuk mengarusperdanakan bidang tersebut dalam kalangan anak-anak sekolah, golongan belia dan komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu menurut Ketua Setiausaha MOSTI, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, kajian Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) pada tahun 2019 menunjukkan bahawa antara punca rakyat tidak mengunjungi pusat sains dan seumpamanya adalah kerana faktor ‘jarak’ dan ‘minat’.
Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang Karnival MSN 2023 yang berlangsung mulai 10 hingga 11 November 2023 yang memberi manfaat kepada pengunjung antaranya Demonstrasi Kenderaan Elektrik, Demonstrasi Penerbangan Dron, E-sport Challenge, Aktiviti Hands-On Sains, Planet VR selain ceramah-ceramah STI.
Turut sama hadir Penolong Naib Canselor, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim yang hadir bagi mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Pemilihan UMPSA sebagai tuan rumah penganjuran karnival ini telah meletakkan satu tanda aras kepada UMPSA sebagai lokasi yang mempromosikan aktiviti Sains dan Teknologi di negeri Pahang ini.
Sepanjang karnival yang berlangsung selama dua hari itu, para pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan sains dan teknologi termasuk demonstrasi dron, Virtual Reality (VR) dan kenderaan elektrik UMPSA.
Para pengunjung berpeluang bertemu mesra dan mendengar perkongsian pengalaman di angkasa lepas daripada Angkasawan Pertama Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Lebih bermakna pelajar berpeluang melawat makmal dan menjalankan aktiviti STEAM yang berjalan serentak di UMPSA Pekan dan Kampus Gambang.
Disediakan oleh: Nor Ainaa Adhreena Mohd Shukri, Pusat Komunikasi Korporat
- 78 views