Karnival STEM UMP terap budaya pemikiran saintifik, kreatif dan inovatif
PEKAN, 5 Oktober 2022 - Penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menarik minat lebih 1,000 orang pelajar sekolah sekitar negeri Pahang bagi menyertai pelbagai program yang berteraskan kepada pembelajaran bersepadu dalam bidang STEM untuk meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada para pelajar sekolah.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, pendidikan STEM menjadi keutamaan pihak sekolah dan universiti ke arah memartabat serta memperkukuhkan bidang terbabit kepada generasi muda pada masa akan datang.
“Pendidikan STEM juga turut menekankan konsep berpandukan komponen 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung di dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
“Pembangunan komponen ini dilihat dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.
“Dunia pada masa kini berdepan dengan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan generasi berpengetahuan tinggi dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baharu yang lebih kompleks,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, pelbagai program dilaksanakan UMP dalam usaha meningkatkan bakat muda dalam bidang kecerdasan buatan, data raya, robotik, pengekodan, dron dan juga dalam bidang teknologi baharu.
“Bidang STEM ini merupakan bidang ilmu yang berpaksikan teknologi dan program ini dapat membudayakan nilai teknologi, melihat aplikasi serta menanam sikap ingin mengetahui tentang ciptaan sesuatu inovasi itu,” katanya ketika merasmikan Karnival STEM UMP 2022 di Dewan Serbaguna UMP Pekan.
Beliau turut menghargai komitmen UMP yang giat melaksanakan program STEM dan menghasilkan penyelidikan yang dapat menyumbang teknologi untuk masyarakat.
Hadir sama dalam program ialah Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia Indonesia, Brunei dan Malaysia, IBM Corporation, Hasnul Nadzrin Shah Abdul Halim Shah, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Bakat Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohd Shapie Meon, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Penolong Naib Canselor (Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.
Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, dalam era moden ini perkembangan teknologi sentiasa berlaku dalam aspek kehidupan.
“Sesuai dengan UMP sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi, UMP melihat STEM sebagai platform terbaik untuk memperkasakan agenda ini bagi menarik minat generasi muda dan seterusnya menjadikan UMP sebagai institusi pilihan untuk menyambung pengajian mereka kelak,” katanya.
Pihaknya menghargai komitmen universiti awam (UA) dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan industri daripada Motorola Solutions Foundation, IBM Malaysia, Air Asia Drone dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC).
Pihak lain yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Malaysia Pahang, UNESCO Information for All Program, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi kerajaan dan swasta dalam merealisasikan program bagi memberi pendedahan dan mendalami ilmu STEM.
Karnival yang akan berlangsung sepanjang bulan Oktober ini di kampus UMP akan memberi peluang kepada para pelajar mengikuti program Kebun IoT, Treasure Hunt, SD Modelling and Printing, Drone Assembly Workshop, STEM Digital Storytelling, Alarm@UMP, Underwater Robotics, Robotics With Lego dan pelbagai lagi.
Turut berlangsung pameran inovasi untuk dikunjungi pelajar sekolah, guru dan orang ramai.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 240 views