KDPB Sultan Pahang, KDPM Tengku Mahkota Pahang lancar Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025
GAMBANG, 6 September 2025 - Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Program Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang hari ini.
Berangkat sama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengurus Besar YASA, Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam Juhali dalam ucapannya menjunjung kasih atas keberangkatan KDYMM Sultan Pahang berkata, kejayaan program ini membuktikan kerjasama erat antara yayasan, universiti, pihak kerajaan, swasta dan komuniti mampu membuka harapan baharu untuk anak-anak daripada keluarga sederhana dan kurang berkemampuan.
"Maklum balas yang diterima amat positif dan peningkatan prestasi pelajar sudah mula kelihatan.
“Insya-Allah dengan limpah perkenan Tuanku, YASA berhasrat memperluaskan program ini ke seluruh daerah di Pahang agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat menjelang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang juga Pengurus Akademi Menara Gading (AMG 2.0), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts Dr Aida Mustapha dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, inisiatif ini bukan sahaja menjadi suluh membimbing anak-anak Pahang lebih bersedia menghadapi cabaran akademik, tetapi juga seiring dengan aspirasi pendidikan negara melahirkan generasi masa depan cemerlang dan berdaya saing.
“Sebanyak 20 sesi dirancang bersama tenaga pengajar berpengalaman dan fasilitator UMPSA bagi memastikan pelajar mendapat bimbingan terbaik.
“Fokus turut diberikan kepada mata pelajaran teras STEM agar pelajar lebih yakin dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Program Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 yang bermula sejak Mac lalu telah melibatkan seramai 200 pelajar Tingkatan 5 daripada keluarga B40 dan asnaf sekitar daerah Pekan dan Kuantan.
Program ini dilaksanakan serentak di UMPSA Pekan dan Kampus Gambang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan dan Kuantan serta sokongan sukarelawan UMPSA.

Lebih 2,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari seluruh negeri Pahang berhimpun dalam program anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama strategik PTTI Group Sdn. Bhd. dan UMPSA.
Program dua hari itu memberi penekanan kepada strategi pembelajaran berkesan, teknik menjawab soalan serta pengukuhan motivasi pelajar menjelang SPM.
Malah, program itu juga turut mendapat dokongan strategik daripada pelbagai rakan kerjasama termasuk Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), institusi pendidikan MARA, Bermaz Auto Berhad, UMPSA Holdings, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), UCYP University, Kolej Yayasan Pahang (KYP), Kolej Matrikulasi Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 44 views
Reports by: