Skip to main content

Kelab Tarian Kencana Pawana wakili UMPSA ke pentas Festival Zapin MAKUM 2026

Kelab Tarian Kencana Pawana wakili UMPSA ke pentas Festival Zapin MAKUM 2026

SERDANG, 6 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkasakan pembangunan mahasiswa holistik menerusi penglibatan dalam Festival Zapin Majlis Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2026 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini. 

Festival Zapin MAKUM 2026 merupakan pertandingan seni tari zapin peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang menghimpunkan penyertaan daripada universiti awam (UA) di seluruh negara. 

Festival ini memberi penekanan kepada keindahan dan keaslian seni tari zapin menerusi persembahan yang menampilkan keselarasan pergerakkan, kreativiti koreografi dan penghayatan budaya Melayu dalam kalangan peserta. 

Malah, festival ini turut menjadi medan pertukaran ilmu, pengalaman serta pengukuhan jaringan kerjasama antara universiti. 

Pusat Kebudayaan UMPSA menampilkan kumpulan kedua dari Kelab Tarian Kencana Pawana, yang dianggotai seramai 12 orang mahasiswi bagi mewakili UMPSA ke Festival Zapin MAKUM 2026. 

Berbekalkan latihan intensif selama satu minggu, para pelajar memperhalusi setiap gerak langkah dan formasi bagi memastikan persembahan yang dibawakan mencapai tahap yang memukau dan membanggakan. 

Kelab Kencana Pawana mengangkat tarian Zapin Pulau dengan iringan lagu Zapin Na'am Sidi, persembahan tersebut menzahirkan keindahan seni tari tradisional Melayu yang sarat dengan nilai budaya dan kesantunan Melayu. Penasihat Kelab Tarian Kencana Pawana, Shahrul Nizam bin Othman berkata penglibatan pelajar dalam pertandingan tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada mereka untuk menyerlahkan kreativiti, malah turut memperkukuh nilai disiplin, kerjasama berpasukan serta keyakinan diri. 

Malah, festival ini turut memberi pengalaman yang bermakna kepada para pelajar dalam menjiwai rasa kecintaan dan penghargaan terhadap warisan seni tari tradisional Melayu. 

“ Para pelajar telah menjalani latihan intensif selama seminggu yang bukan sahaja menekankan aspek fizikal seperti keseragaman gerak dan stamina, malah turut merangkumi persediaan mental bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi pentas pertandingan” ujarnya. 

Beliau berkata, kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pelajar jelas terserlah melalui komitmen mereka sepanjang sesi latihan, sekali gus mencerminkan minat yang mendalam terhadap seni kebudayaan Melayu. 

Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohd Zaki bin Ahmad berkata komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang latihan dan persembahan mencerminkan tahap disiplin yang tinggi serta minat mendalam terhadap seni budaya, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pewaris dan penggerak warisan seni negara. 

Beliau menyifatkan persembahan tersebut berjaya menonjolkan keindahan seni tari zapin yang penuh tertib, sopan santun serta penghayatan terhadap nilai budaya Melayu. 

“Apa yang membanggakan ialah para pelajar bukan sekadar mempersembahkan tarian, tetapi turut menghayati setiap gerak dan nilai yang terkandung dalam seni zapin itu sendiri. 

Pemilihan Zapin Pulau juga dilihat amat bertepatan kerana tarian ini sarat dengan unsur sopan santun, kehalusan budi serta tertib gerak yang mencerminkan keindahan adab dan budaya masyarakat Melayu.” ujarnya. 

Konsep persembahan Zapin Pulau yang diiringi lagu Zapin Na’am Sidi membawakan tema sekumpulan wanita yang pulang daripada menuntut ilmu agama. 

Sepanjang perjalanan pulang, mereka digambarkan membawa bersama nilai-nilai murni, adab serta pengetahuan yang telah dipelajari sebagai lambang rasa syukur terhadap peluang menimba ilmu. 

Tarian ini turut menonjolkan semangat untuk mengamalkan serta menyebarkan ilmu agama dalam kehidupan seharian. 

Pergerakan zapin yang tersusun dan berirama melambangkan keperibadian wanita Melayu yang berakhlak mulia, berilmu serta berpegang teguh kepada nilai-nilai agama. 

Keseluruhan persembahan tersebut memperlihatkan kepentingan pendidikan agama sebagai panduan hidup, di samping mengangkat peranan wanita dalam memelihara serta menyampaikan ilmu kepada masyarakat. 

Meskipun belum dapat meraih sebarang kedudukan, semangat Kelab Tarian Kencana Pawana tetap tidak luntur untuk terus memburu kejayaan pada penyertaan akan datang. 

Pusat Kebudayaan UMPSA pula kekal komited dalam menyediakan ruang, bimbingan serta sokongan latihan berterusan bagi menggilap bakat pelajar agar terus berkembang dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam bidang seni budaya. 

Usaha ini selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik, sahsiah dan penghayatan terhadap warisan seni budaya negara. 

Festival Zapin MAKUM 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Jun hingga 6 Jun 2026 telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang gemilang di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. 

Program tersebut dianjurkan oleh oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM). 

Secara keseluruhannya, Pusat Kebudayaan UMPSA akan terus komited dalam memperkukuh sokongan terhadap pembangunan bakat seni dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai program serta penyertaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan berkebolehan dari segi akademik, sahsiah dan penghayatan budaya, di samping terus mengangkat nama UMPSA melalui pencapaian dan penglibatan aktif pelajar di pelbagai platform kebudayaan berprestij. 

Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim