Skip to main content

Kelas KAFA mula beroperasi untuk anak staf UMP

Pekan, 24 Januari - Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Pahang (UMP) telahpun mula beroperasi sejak 2 Januari lalu dengan kemasukan seramai  23 orang pelajar tahun 1 yang mengikuti kelas di UMP Pekan dan Gambang. Pengambilan KAFA bagi tahun pertama ini khusus buat anak-anak staf yang berumur 7 tahun sahaja dan akan dikembangkan lagi bagi tahun berikutnya.
 

Penubuhan KAFA UMP ini merupakan suatu kemudahan buat staf universiti dalam menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas Pendidikan Islam serta dapat  meringankan beban terutama staf yang berpendapatan rendah untuk menghantar anak-anak bersekolah  ke sekolah lain yang lebih jauh.

Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, KAFA UMP yang julung kalinya ditubuhkan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua warga UMP dan komuniti pada masa akan datang.

“Pihak PIMPIN merancang untuk menjadikan UMP sebagai sebuah pusat pembangunan insan kepada  warga UMP dan masyarakat sekitar memandangkan di daerah Kuala Pahang ini hanya terdapat dua buah sekolah agama sahaja iaitu di Sekolah Agama Rakyat Serandu serta di Sekolah Agama Rakyat Bentam. Lokasi yang jauh dan penempatan yang terhad menyebabkan kebanyakan ibu bapa di sini berminat untuk menghantar anak mereka bagi mendapatkan pendidikan KAFA” katanya.

 

 

Beliau berharap agar penubuhan  KAFA ini  mendapat sokongan dan dorongan dari semua pihak di samping  mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan dari warga UMP dalam memantapkan pengurusan kelas ini dalam universiti. Pada masa ini guru dan tenaga pengajar juga melibatkan dalam kalangan staf PIMPIN sendiri.

Sementara itu bagi Penyelaras KAFA UMP, Ustazah Amira Abdullah berkata, KAFA ini dibuka bagi memenuhi keperluan asas Fardhu Ain dan teknik pembelajaran dan penguasaan Al-Quran kepada anak-anak warga UMP.

"Kami juga sedang mewujudkan suatu sistem kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain yang kemas, seragam dan bersepadu dengan mewujudkan modul tersendiri mengikut silibus yang telah ditetapkan," ujarnya.

Bagi Pengawal Keselamatan UMP, Mohd Sharol Mad Tahir, bapa kepada Hanna Munira melahirkan perasaan bersyukur dengan kemudahan ini memandangkan sebelum ini terpaksa menghantar anaknya bersekolah KAFA yang terletak jauh dari rumah dan tempat kerja. Selain itu anaknya juga seronok mengikuti kelas dan berjumpa dengan kawan-kawan baharu.   

Pihak PIMPIN juga mengalu-alukan sumbangan dari warga UMP berbentuk kewangan bagi melancarkan penubuhan KAFA UMP ini agar dapat beroperasi dengan lebih baik dalam melahirkan anak-anak yang soleh dan berakhlak terpuji.

 

 

 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris