Skip to main content

Kembara Mobiliti Yayasan UMPSA bawa misi pendidikan dan ihsan Ramadan ke Indonesia

DOLOKGEDE, BOJONEGORO, 27 Februari 2026 – Seramai 15 orang sukarelawan dari Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Kembara Mobiliti di Dolokgede, Bojonegoro, Indonesia yang berlangsung pada 19 hingga 27 Februari 2026.

Program sembilan hari itu adalah anjuran bersama dengan Universitas Bojonegoro (UNIGORO), Universitas Nahdlatul Ulama Sunan Giri (UNUGIRI), IKIP PGRI Bojonegoro, Persatuan Mahasiswa Islam Indonesia (PMII) serta Asosiasi untuk Demokrasi dan Kesejahteraan Sosial (Ademos). 

Program ini menjadi platform yang menggabungkan elemen pendidikan, pertanian, penternakan, khidmat komuniti dan pertukaran budaya antara Malaysia serta Indonesia.

Majlis perasmian telah diadakan pada 21 Februari yang disaksikan oleh Ketua Yayasan Mannah, Haji Imam Effendi; wakil Kepala Desa Dolokgede, Rudik Kristianto; Ketua Ademos Indonesia, Ahmad Shodiqurosyad; Ketua Umum Pengurus Cabang PMII Bojonegoro, Moh. Bahrul Hikam; Rektor UNUGIRI, K.M. Jauharul Ma’arif; wakil Rektor IKIP PGRI Bojonegoro, Dr. Ima Isnaini TR serta wakil Yayasan UMPSA, Nor Azlina Ahmad. 

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian kerjasama antara pihak terlibat sebagai tanda komitmen dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan khidmat masyarakat antara kedua-dua negara.

Sepanjang program berlangsung, para sukarelawan berpeluang menimba pengalaman melalui pelbagai aktiviti lapangan termasuk lawatan ke ladang dampingan Yayasan Field di Desa Bonorejo, Kecamatan Gayam yang memberi pendedahan kepada amalan pertanian moden dan lestari. 

Kembara Mobiliti Yayasan UMPSA bawa misi pendidikan dan ihsan Ramadan ke Indonesia

Mereka turut melawat Greenhouse Anggur di Desa Bandungrejo bagi mempelajari teknik penanaman anggur menggunakan kawalan iklim buatan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan petani muda di Indonesia.
Selain itu, para sukarelawan turut menyertai sesi pendidikan penternakan di Edufarm Dander, Desa Ngulanan, Kecamatan Dander. 

Melalui sesi tersebut, mereka berpeluang memberi makan ternakan serta mempelajari proses penghasilan susu melalui kaedah pasteurisasi.

Dalam aspek akademik, program ini turut merangkumi lawatan pembelajaran banding ke Fakulti Pertanian UNIGORO bagi bertukar pandangan mengenai kurikulum, penyelidikan serta program outreach berkaitan bidang pertanian. 

Para sukarelawan juga menyertai sesi ‘Sharing dan Sinau Bareng’ bersama Ademos Indonesia yang memberi pendedahan mengenai pendekatan pembangunan komuniti berasaskan pendidikan dan pengukuhan ekonomi masyarakat setempat.

Program Kluster Pendidikan yang diadakan di SDN Dolokgede pada 23 Februari 2026 pula menyaksikan para sukarelawan UMPSA mengendalikan aktiviti STEM, pembelajaran bahasa Inggeris (English for Kids) dan Street Science kepada murid sekolah rendah. 

Sesi pembelajaran teknologi turut dilaksanakan bersama pasukan AI UNUGIRI dan Robotika UNIGORO yang memperkenalkan pelajar kepada teknologi kecerdasan buatan dan robotik.

Kembara Mobiliti Yayasan UMPSA bawa misi pendidikan dan ihsan Ramadan ke Indonesia

Selain pengisian pendidikan, program ini turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan kemasyarakatan sempena kedatangan Ramadan. 

Para sukarelawan juga melaksanakan Program Ziarah Prihatin melalui pengagihan Paket Bantuan Ramadan kepada golongan dhuafa di Balai Desa Dolokgede sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat setempat.

Kembara Mobiliti Yayasan UMPSA bawa misi pendidikan dan ihsan Ramadan ke Indonesia

Suasana komuniti turut diserikan dengan penganjuran Ramadan Fest Competition yang melibatkan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika dan pertandingan Cerdas Cermat Bahasa Inggeris bertema Islami bagi pelajar sekolah rendah. 

Turut diadakan ialah Bazar UMKM Lokal dan sesi memasak menu berbuka puasa khas Malaysia bersama ibu-ibu PKK yang menjadi ruang pertukaran budaya antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Program Kembara Mobiliti Yayasan UMPSA 2026 ini berakhir dengan Majlis Cross Culture dan Closing Ceremony pada 26 Februari 2026 yang menampilkan persembahan seni PMII Acoustic, tarian dari UNIGORO dan UMPSA serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Majlis tersebut diakhiri dengan Iftar Jamaie yang dihadiri oleh semua pihak berkepentingan sekali gus menzahirkan ukhuwah dan hubungan erat yang terjalin sepanjang program berlangsung.

Menurut Pengurus Kembara Mobiliti@Dolokgede, Indonesia, Halimatus Sa’diyyah, program ini telah membuka ruang hubungan yang lebih bermakna antara para peserta dan masyarakat setempat. 

Beliau berharap pengalaman, ilmu dan jaringan yang terjalin sepanjang program ini akan terus menjadi inspirasi dalam memperkasa khidmat masyarakat serta memperkukuh hubungan antara dua negara serumpun.

 

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
AINIEY