Kepentingan Analisis Data Dalam Perniagaan
Kuantan, 30 November- Keperluan menganalis data dalam perniagaan mampu meningkatkan nilai perniagaan serta keuntungan sesebuah syarikat pada masa depan. Malahan dalam dunia digital hari ini, aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan di samping kepentingan inovasi digital untuk sesebuah organisasi bersaing secara sihat.
Bagi Parjit Singh Ranjeet Singh yang merupakan Penganalisis Data, Business Intelligent Insights di Malaysia Airlines Berhad (MAS) berkata, analisis data juga digunakan untuk pembangunan sumber manusia dan sebagai contoh dari segi pembahagian kerja serta mengikut kesesuaian kemahiran staf.
Beliau yang merupakan panel jemputan dalam program MBA Business Forum 4 berkongsi pengalaman dalam aplikasi data, antaranya mempelbagaikan trend penerbangan selain dapat mengenalpasti segmen pelanggan MAS.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, VULSANX, Dr. Prakash Christiansen, berpendapat data atas talian mendedahkan pengguna kepada lebih risiko. Maklumat tentang diri pada privasinya mudah bocor dan kebiasaannya mudah didapati untuk kegunaan organisasi tertentu. Semakin canggih sistem dan teknologi juga mendedahkan privasi data kepada bahaya.
“Orang ramai jangan mudah terpedaya dengan perkataan tertentu, misalannya ayat “percuma”. Contohnya muat turun percuma dan aplikasi percuma. Pada era masa kini, kita sepatutnya tidak teragak-agak untuk membayar lebih demi untuk keselamatan,” tambahnya dalam program anjuran Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dengan tajuk "Harnessing Data Analytics: What's Next yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Segaran S. Narayanasamy yang merupakan Ketua Strategi & Penyelidikan, Strategi Korporat, Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) berkongsi peranan MDEC dalam pelaksanaan program #eRezeki, #eUsahawan dan pelbagai program lain yang banyak menggunakan analisis data.
Bagi Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Fazeeda Mohammad berkata, MBA Business Forum adalah merupakan acara tahunan yang dikendalikan oleh FIM sejak tahun 2016. Pada kali ini ianya turut berlangsung secara kelas global (live) melibatkan tiga institusi dari India iaitu DJ Academy For Managerial Excellence dan GRG School of Management Studies dari Combaitore India dan Periyar University Salem, Tamil Naidu India.
Selain menggalakkan perkongsian idea, program seumpama ini menggalakkan kolaborasi dan jaringan rangkaian industri, fakulti dan universiti. Ianya bertujuan melahirkan pengurus yang kompeten selain mempelajari aspek pentadbiran dan praktikal yang dapat membantu pemikiran secara holistik dan global.
Manakala menurut Pengarah Program, Dr. Suhaidah Hussain, melalui forum ini, perkongsian dari pakar-pakar dalam industri dapat mengintegrasikan teori, keadaan sebenar (real-world practice) dan pengalaman peribadi peserta. Dalam meraikan era digital, program MBA diharapkan untuk melahirkan bakal ketua atau ketua yang dapat menangani masalah yang kompleks secara sistematik dan kreatif dalam dunia perniagaan yang mencabar. Pada masa kini analisis data telah digunakan oleh kebanyakan syarikat di Malaysia.
Peserta forum, Mohd. Izzat Shafie@Mohd Alias yang merupakan siswawah UMP yang sedang mengikuti pengajian Sarjana MBA mengharapkan lebih banyak penganjuran program seumpama ini agar dapat memberi manfaat bukan sahaja warga kampus malahan komuniti setempat dari industri yang berbeza dalam menghadapi cabaran revolusi industri 4.0.
Forum ini merupakan satu program yang sangat berinformasi kerana penerangan dari panel berpengalaman dalam berkongsi kaedah analsisis data bagi membantu perancangan atau penambahbaikan yang perlu diambil untuk meningkatkan prestasi organisasi di samping penekanan kepada aspek keselamatan data yang kurang diberi perhatian oleh segelintir pihak yang mana boleh memberi kesan buruk kepada pengguna atau pelanggan.
Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 2125 views