Keusahawanan berteraskan kesenian memperkukuh potensi pelajar UMPSA melalui Festival Gema Seni dan Warisan Negeri Pahang
KUANTAN, 31 Mei 2026 - Festival Gema Seni dan Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Serambi Teruntum, Kuantan menjadi platform strategik dalam memperkukuh Agenda Pemeliharaan Warisan Budaya Negeri serta menyokong aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Penganjuran festival itu menghimpunkan pelbagai penggiat seni, usahawan kreatif, institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam usaha memperkasakan ekosistem ekonomi kreatif berasaskan warisan budaya.
Selaras dengan aspirasi KPT dan inisiatif UMPSA30 yang menekankan kepada pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam bidang keusahawanan melalui pengalaman pembelajaran berasaskan amali.
Arwanaa Entertainment, merupakan sebuah syarikat pelajar UMPSA yang beroperasi di bawah bimbingan Pusat Kebudayaan (PUSKEB) dengan pemantauan dan sokongan daripada Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif Universiti (PUPUK) menjadi platform mendedahkan kepada mahasiswa dalam mempraktikkan ilmu keusahawanan, khususnya pengurusan acara.
Malah, penubuhan syarikat ini bertujuan memperkasakan kemahiran kepimpinan, pengurusan projek dan daya saing mahasiswa melalui penglibatan secara langsung dalam industri.

Penglibatan pertama Arwanaa Entertainment direalisasikan menerusi program Festival Gema Seni Negeri Pahang anjuran Koperasi Usahawan Melayu Pahang Berhad (KUMEP) sekali gus telah memilih syarikat ini sebagai rakan strategik bagi menguruskan aspek logistik dan penyelarasan persembahan sepanjang festival ini berlangsung.
Kepercayaan yang diberikan ini bukan sahaja membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman industri yang berharga, malah memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan pihak industri tersebut.
Malah, penglibatan ini menunjukkan satu pencapaian yang membanggakan dan dapat membuktikan kemampuan mahasiswa UMPSA dalam mengendalikan program berskala besar di peringkat negeri.
Menurut Pengurus Arwanaa Entertainment, Nurul Muslihah Tuzzaman Kamaruzaman, penglibatan dalam syarikat pelajar itu membuka peluang terhadap dirinya untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di universiti dalam persekitaran kerja sebenar.
Beliau yang juga merupakan pelajar Tahun 2 Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA berkata, pengalaman menguruskan program tersebut turut meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengurusan pelanggan yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan.
“Pengalaman ini memberi nilai tambah kepada proses pembelajaran saya kerana berpeluang mengendalikan tugasan sebenar serta berinteraksi secara profesional dengan pelanggan dan rakan industri,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Logistik Arwanaa Entertainment, Nurfarhan Hakim Mahdon berkata, penglibatannya dalam Festival Gema Seni Negeri Pahang telah memberikan pendedahan yang luas mengenai pengurusan acara dan operasi logistik.
Beliau yang merupakan pelajar Tahun 4, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMPSA berkata, program tersebut membolehkan beliau berinteraksi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak serta latar belakang yang berbeza.
“Pengalaman ini membantu saya meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah selain memberi keyakinan untuk berhadapan dengan cabaran dalam persekitaran kerja sebenar.
“Malah, saya juga mempelajari bahawa setiap urusan yang kompleks dapat diselesaikan dengan lebih berkesan melalui kerjasama erat dan komitmen tinggi antara pasukan serta pihak pelanggan” ujarnya.
Usaha tersebut jelas menunjukkan komitmen UMPSA dalam menyahut seruan KPT untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan di peringkat universiti, sekali gus menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Adibah Shaharom, Pusat Kebudayaan
- 41 views
Reports by: