Skip to main content

Konvokesyen UMPSA bakal berlangsung di dewan baharu

PEKAN, 27 Ogos 2026 - Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dijadual pada 31 Oktober hingga 3 November depan bakal berlangsung di dewan baharu di UMPSA Pekan apabila menerima Sijil Kelayakan Menduduki (CF)/Sijil Siap dan Pematuhan (CCC). 

Dengan penyerahan ini menandakan siapnya sebuah kemudahan baharu yang menjadi antara mercu tanda universiti ini.

Dalam majlis yang berlangsung baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir menyaksikan penyerahan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) Dewan Konvokesyen UMPSA yang diserahkan oleh Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Pasukan Projek JKR Pahang, Ir. Ts. Adnan Ladin kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias. 

Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abd Razak Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, serta Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Dr. Harshita Aini Haroon.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, pembinaan Dewan Konvokesyen UMPSA merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam perjalanan UMPSA menjelang Sambutan Jubli Perak UMPSA Ke-25 tahun pada 16 Februari 2027.

“Begitu juga dengan Majlis Konvokesyen yang bakal berlangsung buat pertama kalinya di sini nanti bakal menjadi antara detik paling bermakna dalam sejarah UMPSA.

“Dewan yang mula dibina pada bulan Mac 2023 itu mampu menampung sehingga 3,500 orang pada satu-satu masa, sekali gus menyediakan ruang lebih besar untuk penganjuran istiadat konvokesyen, persidangan, seminar serta pelbagai program berskala besar.

“Lebih istimewa, program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur menjadi program sulung yang diadakan di dewan ini, sekali gus membuka tirai penggunaannya sebagai kemudahan baharu UMPSA,” ujarnya. 

Konvokesyen UMPSA bakal berlangsung di dewan baharu

Kemudahan itu turut memperkukuh keupayaan UMPSA menyediakan prasarana yang bersesuaian dengan peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan teknologi, kejuruteraan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik serta libat urus bersama komuniti dan industri.

Dewan Konvokesyen UMPSA ini mampu menampung sehingga 3,500 orang pada satu-satu masa. 
Pembinaannya mengambil tempoh kira-kira dua tahun dan menampilkan reka bentuk unik berinspirasikan Wau Pungguk, sekali gus menyerlahkan identiti budaya tempatan dalam seni bina moden.

Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki (CF)/Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) bagi Dewan Konvokesyen UMPSA itu berlangsung bersempena dengan Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI (Zon Timur) Tahun 2026 yang menghimpunkan kira-kira 500 pensyarah dan pentadbir muda berusia 40 tahun ke bawah dari institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri