Skip to main content

KOPUMPSA terima Anugerah 350 Koperasi Terbaik Malaysia

KUANTAN, 25 Januari 2025 – Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Berhad (KOPUMPSA) dengan bangganya telah disenaraikan sebagai salah satu penerima Anugerah 350 Koperasi Terbaik Malaysia baru-baru ini. 

Pengiktirafan itu telah disampaikan semasa Majlis Makan Malam Apresiasi ANGKASA Pahang 1 (Timur) yang dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.

Kejayaan itu juga menjadi lebih bermakna apabila KOPUMPSA yang telah ditubuhkan 14 tahun lalu berjaya menduduki tempat ke-342 dalam kalangan koperasi terbaik di Malaysia berbanding hampir 16,000 jumlah koperasi seluruh Malaysia ketika ini. 

KOPUMPSA terima Anugerah 350 Koperasi Terbaik Malaysia

Menurut Pengerusi KOPUMPSA, Mejar Dr. Haji Imaduddin Abidin, pencapaian ini merupakan hasil daripada sokongan padu pihak pengurusan universiti  serta komitmen lebih 505 ahli koperasi.

Beliau menegaskan bahawa KOPUMPSA sentiasa komited dalam memperkasa taraf sosial ekonomi dan kebajikan anggota melalui pelbagai aktiviti ekonomi, perkhidmatan, dan kemudahan yang berimpak tinggi. 

“Antara aktiviti utama koperasi termasuklah peruncitan, perkhidmatan dan pembekalan, pembiayaan kredit, ejen takaful, pengurusan wasiat dan sebagainya. 

Selain itu, KOPUMPSA turut memastikan pulangan ekonomi yang lestari kepada anggota melalui pembayaran dividen, bonus, rebat, dan diskaun pada kadar yang memuaskan setiap tahun.

“Kejayaan ini adalah bukti kukuh bahawa semangat kolaborasi dan inovasi mampu membawa koperasi seperti KOPUMPSA mencapai tahap kecemerlangan,” ujarnya.

KOPUMPSA terima Anugerah 350 Koperasi Terbaik Malaysia

Katanya lagi, pihak KOPUMPSA akan terus meneroka peluang rangkaian kerjasama dengan koperasi lain di peringkat negeri dan nasional, sekali gus memperkukuh integrasi dan kolaborasi dalam sektor koperasi. 

“Kejayaan ini pastinya menjadi pemangkin untuk KOPUMPSA terus maju dan berkembang pada masa hadapan,” kata Mejar Dr. Imaduddin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Pengarah SKM Cawangan Negeri Pahang, Shahirah Mohamad, Pengarah IKMa Zon Timur, Haslinda Sujak, serta beberapa Ahli Lembaga KOPUMPSA.

Disediakan Oleh: Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, Setiausaha Koperasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Berhad (KOPUMPSA)

Reports by:
Admin UMP News