Skip to main content

KP House curi tumpuan penduduk Kuala Pahang

Pekan, 22 Januari – Kedudukan Kuala Pahang House (KP House) yang dahulunya sebuah rumah tinggalan yang agak usang dan terbiar kini bertukar menjadi sebuah rumah yang bersih dan cantik. Bukan itu sahaja malahan ianya menjadi tumpuan dan sebagai pusat sehenti yang diwarnai dengan kepelbagaian aktiviti yang dapat dimanfaatkan bersama komuniti dan penduduk setempat di Kg. Kuala Pahang. 

Kini suasananya juga berubah. Pada waktu siangnya rumah ini dimanfaatkan untuk para ibu dan bapa menyertai program kesedaran dan pemeriksaan kesihatan hasil kerjasama Pusat Kesihatan UMP pada setiap bulan manakala pada waktu malam dipenuhi dengan anak-anak yang hadr untuk mengulangkaji pelajaran serta kelas tambahan yang dijalankan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) melibatkan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa UMP.

Malahan pada hujung minggu diadakan program Interactive Group di bawah inisiatif Bridge of Love @KP House kelolaan Kelab InSmartive dan UMP Advanced Education. Selain itu  sebagai memupuk minat pelajar sekolah dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik turut diadakan Program Literasi Digital  anjuran UMP STEM Lab yang dilaksanakan di bawah Unit Pengembangan Inovasi FKEE dan pihak Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (JJIM).  

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, kewujudan KP House kini mula menjadi sebutan anak-anak dan masyarakat di sini. Selain itu, suasana pembelajaran yang kondusif di KP House ini juga memberi peluang anak-anak ini belajar di luar kawasan persekolahan dengan lebih seronok dan selesa.

Pihaknya juga teruja dengan kehadiran seramai 120 para pelajar sekolah yang hadir untuk mengikuti kelas tambahan secara percuma. Mereka ini bukan sahaja datang dari kampung ini sahaja namun turut mendapat perhatian anak-anak dari kampung berdekatan, seperti Kg. Marhum.

 “Prihatin terhadap kepentingan kesihatan masyarakat setempat, Pusat Kesihatan UMP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Pekan juga menganjurkan program Jom Sihat Wehh  di sini. Program ini merupakan salah satu program yang dirangka khas untuk meningkatkan tahap kesedaran berkenaan kesihatan diri bagi masyarakat setempat  di sini,” katanya baru-baru ini.

Ujar Dato’ Dr Yuserrie, pihaknya sedang merancang bersama pihak Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) di universiti ini bagi mengadakan kelas mengaji Al-Quran dan Kelas Agama khususnya buat muslimah di sini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UMP, Dr. Norhilda Abdul Karim berkata, program kesedaran kesihatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dihadiri lebih 50 orang masyarakat Kuala Pahang. Memandangkan lokasi KP House ini agak strategik, ianya dapat memudahkan masyarakat dari pelbagai peringkat usia terutama warga emas untuk menyertai program sebegini.

Program ini turut mendapat kerjasama dengan Pejabat Kesihatan daerah Pekan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Unit Tabung Darah Hospital Pekan,  Alumni Kuala Pahang dan Pusat Komuniti Desa.

Bagi peserta program, Noraziah Nordin, 42, program ini memberi peluang buatnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan mengikuti ceramah penyediaan menu sihat yang boleh membantu sebagai panduan dalam penyediaan makanan untuk seisi keluarga.  

Program Facelift D’ Kuala dilaksanakan bagi mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan selain memaknakan kewujudan UMP di Kuala Pahang. Selain program mengecat dan membaikpulih rumah, selaras dengan usaha UMP dalam memasyarakatkan teknologi, universiti turut menjalankan projek tanaman fertigasi dan pemasangan solar serta menambahbaik lanskap sosial penduduk Kuala Pahang. Fasa seterusnya menyaksikan program kesedaran terhadap pendidikan dan kebersihan dalam meningkatkan taraf hidup keluarga menjadi sasaran terhadap usaha ini.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri