Kunjungan NC UMP beri semangat buat barisan hadapan
KUANTAN, 2 Februari 2021 - Kunjungan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff ke Pusat Kesihatan UMP (PKU) Kampus Gambang baru-baru ini memberikan suntikan semangat buat barisan hadapan untuk terus menabur khidmat memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus.
Beliau turut menyampaikan penghargaan daripada barisan pengurusan universiti kepada semua petugas PKU yang juga merupakan barisan hadapan di universiti ini yang telah bertungkus-lumus sejak penularan pandemik Covid-19 setahun lalu.
Menurut beliau, para petugas barisan hadapan ini adalah benteng pertahanan terakhir yang sangat diharapkan oleh semua warga UMP.
“Usaha keras yang dilakukan oleh petugas PKU dari awal penularan wabak bagi memastikan warga kampus berada dalam keadaan selamat dan sihat sangat dihargai dan perlu diteruskan secara optimum.
“Malahan, keperluan perubatan juga perlu dipastikan sentiasa berada dalam kawalan supaya dapat digunakan setiap masa oleh petugas barisan hadapan dan juga warga kampus.
“Bekalan alatan perlindungan diri atau Personal Protective Equipment (PPE) hendaklah cukup untuk digunakan bagi melindungi diri ketika bertugas,” kata Profesor Ir. Dr. Wan Azhar.
Menurutnya lagi, dalam mendepani kemasukan pelajar ke kampus yang dijangka bermula 6 Mac ini, semua warga kampus haruslah menitikberatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di semua tempat dan di setiap masa secara maksima.
“Terutamanya dari aspek penjagaan diri dan keluarga dengan mengehadkan pergerakan ke tempat yang sesak serta ramai orang.
“Dengan kesedaran yang tinggi serta amalan norma baharu yang diamalkan dapat membantu negara melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19 ini,” ujar beliau.
Bagi Pengarah PKU, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit, sejak awal lagi pihaknya mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP yang ditubuhkan UMP bagi menyelaras semua tindakan menangani penularan wabak ini.
“Kami juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengemas kini maklumat dan garis panduan terkini bagi mengawal penularan kes Covid-19 di UMP.
“Meskipun kehadiran staf dan pelajar di kampus adalah pada paras minimum, PKU perlu memastikan sistem perkhidmatan dapat diberikan kepada warga kampus dengan sebaiknya walaupun wabak ini masih meningkat saban hari,” katanya.
Setahun negara Malaysia mendepani wabak COVID-19 yang mula melanda negara bermula 25 Januari 2019 yang lalu.
Kumpulan virus ini menyerang manusia tanpa mengenal peringkat umur dan latar belakang penyakit mendatangkan kegelisahan dan ketakutan semua rakyat sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020 hingga kini.
Sejak dari itu, rakyat mula berhati-hati dan mengamalkan kehidupan secara norma baharu.
Pelbagai sektor pekerjaan perlu dihentikan buat sementara waktu demi menjaga wabak ini dari terus merebak ke pelusuk negara.
Turut terkesan adalah sektor pendidikan yang turut mengakibatkan pengoperasian sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu ditutup dan proses pengajaran dan pembelajaran perlu dijalankan secara dalam talian.
PKU beroperasi seperti biasa semenjak pandemik COVID-19 melanda negara dengan pematuhan SOP mengikut garis panduan KKM bagi membendung penularan wabak ke dalam kampus.
Status tahap kesihatan dinilai terlebih dahulu bagi semua pesakit yang hadir sebelum diberi rawatan lanjut oleh pegawai perubatan.
Disediakan Oleh: Dr. Khairul Salleh Abdul Basit, Pusat Kesihatan UMP
- 124 views