Skip to main content

Lakar sejarah, KV Kudat jadi institusi TVET Borneo pertama buat lawatan rasmi ke UMPSA

PEKAN, 22 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan seramai 30 orang pelajar dan spuluh orang tenaga pengajar daripada Kolej Vokasional (KV) Kudat, Sabah yang diketuai oleh Pengarah KV Kudat, Roseberth@Mohammad Jalilul.

Lawatan ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi lawatan rasmi pertama institusi TVET dari Borneo ke UMPSA.

Program dimulakan dengan sesi taklimat di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Profesor Dr. Mohd Herwan Sulaiman. 

Seterusnya, peserta turut mengikuti taklimat mengenai program akademik dan peluang pengajian yang disampaikan oleh Jurutera Kanan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Mohd Nurulakla Mohd Azlan.

Sepanjang lawatan, para pelajar turut berpeluang meninjau beberapa makmal pengajaran dan penyelidikan FTKEE bagi melihat secara dekat kemudahan pembelajaran serta teknologi terkini yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di UMPSA.

Pengalaman ini memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di peringkat universiti dan perkembangan teknologi dalam bidang Kejuruteraan.

Lakar sejarah, KV Kudat jadi institusi TVET Borneo pertama buat lawatan rasmi ke UMPSA

Rombongan turut dibawa melawat Menara Jam UMPSA, salah satu mercu tanda universiti, selain menikmati panorama kampus yang kondusif dan berteraskan kelestarian.

Sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan, peserta turut dibawa melihat projek solar terapung UMPSA yang dibangunkan di tasik universiti iaitu Tasik Impian. 

Sistem tenaga hijau ini terdiri daripada 240 unit panel solar, sebuah inverter berkapasiti 125 Amp serta lebih 136 unit pelampung yang meliputi kawasan seluas 2,574 meter persegi. 

Projek ini menjadi contoh komitmen UMPSA dalam menyokong agenda kelestarian dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Lawatan ini turut membuka ruang kepada kerjasama strategik antara UMPSA dan KV Kudat, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Melalui kerjasama tersebut, UMPSA berperanan sebagai Panel Penasihat Akademik bagi membantu memastikan modul pengajaran dan pembelajaran di KV Kudat selaras dengan keperluan profesional serta piawaian yang ditetapkan oleh Malaysia Board of Technologists (MBOT).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, UMPSA sentiasa komited dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar TVET melalui kerjasama strategik bersama institusi seperti KV Kudat.

“UMPSA amat mengalu-alukan lebih ramai graduan KV Kudat untuk menyambung pengajian di universiti ini. 

"Saya yakin mereka mempunyai potensi besar untuk cemerlang dalam bidang Teknikal dan Kejuruteraan," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama tersebut bukan sahaja membuka laluan pendidikan yang lebih jelas kepada pelajar, malah menyokong Agenda Pemerkasaan TVET Negara serta membantu meningkatkan mobiliti sosial, khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga B40.

“Sehingga kini, seramai 13 orang bekas pelajar KV Kudat telah memilih untuk melanjutkan pengajian di UMPSA. 
"Perkara ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh universiti ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah KV Kudat, Roseberth@Mohammad  berharap hubungan strategik yang terjalin antara kedua-dua institusi akan terus diperkukuh dan menjadi laluan utama (feeder) kepada pelajar KV Kudat untuk melanjutkan pengajian ke UMPSA.

“Kerjasama ini diyakini mampu membuka lebih banyak peluang pendidikan tinggi kepada pelajar, khususnya mereka yang datang daripada keluarga B40, sekali gus membantu meningkatkan taraf pendidikan dan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Abd Rahman Haji Safie, Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan JHEAA, Zainal Bahari dan Pengarah, Pusat Pendaftaran dan Rekod JHEAA, Norhidayah Abdul Rahim. 

Lakar sejarah, KV Kudat jadi institusi TVET Borneo pertama buat lawatan rasmi ke UMPSA

Pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke UMPSA Kampus Gambang bagi mengikuti sesi taklimat berkaitan kebajikan pelajar yang disampaikan oleh Eksekutif Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Azle Abd Ghalim. 

Program diakhiri dengan taklimat penutup oleh Zainal Bahari yang diadakan di Dewan Bankuet, Canseleri UMPSA Kampus Gambang.

Menurut pelajar Tahun 2 Sijil Vokasional Malaysia (Teknologi Elektrik), Mark Eld Glynn T. Gabil dari KV Kudat, beliau amat teruja apabila melihat fasiliti-fasiliti yang terdapat di UMPSA.

“Saya berhasrat untuk memasuki UMPSA setelah tamat pengajian di KV Kudat kelak,” katanya. 

Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara UMPSA dan KV Kudat serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat TVET pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Noraini Yusoff, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri