Skip to main content

Latihan Sistem i-Pusara bersama pengurusan Masjid Bukit Rangin perkasa pendigitalan pengurusan perkuburan

BUKIT RANGIN, 3 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi pasukan penyelidik Geran Komuniti CDU240111 telah mengadakan sesi latihan penggunaan Sistem i-Pusara bersama pihak pengurusan Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin bagi memperkukuh pengurusan tanah perkuburan melalui penggunaan teknologi digital.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat tanah perkuburan secara lebih sistematik, teratur dan mudah diakses.

Projek pembangunan Sistem i-Pusara ini diketuai oleh Dr. Ameerah Muhsinah Jamil dengan kerjasama ahli projek yang terdiri daripada Ts. Dr. Rozlina Mohamed, Ts. Dr. Jamaludin Sallim dan Ts. Azlina Zainuddin daripada Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Projek yang dibiayai di bawah Geran Komuniti CDU240111 ini turut melibatkan kolaborator luar, Muhammad Ridhwan Ishak dari Kolej Komuniti Kuantan. 

Gabungan kepakaran akademik dan pengalaman lapangan ini telah menyumbang kepada pembangunan Sistem i-Pusara sebagai satu inovasi digital yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan tanah perkuburan serta memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi pasukan penyelidik Geran Komuniti CDU240111 telah mengadakan sesi latihan penggunaan Sistem i-Pusara bersama pihak pengurusan Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin bagi memperkukuh pengurusan tanah perkuburan melalui penggunaan teknologi digital.  Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan maklumat tanah perkuburan secara lebih sistematik, teratur dan mudah diakses.

Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin dipilih sebagai lokasi pelaksanaan latihan kerana peranannya yang aktif dalam menguruskan tanah perkuburan komuniti setempat dan kesediaan pihak pengurusan masjid untuk meneroka penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. 

Kerjasama ini juga menjadi platform penting bagi menilai keberkesanan penggunaan Sistem i-Pusara dalam persekitaran sebenar sebelum diperluaskan kepada institusi masjid dan pengurusan tanah perkuburan lain pada masa hadapan.

Sistem i-Pusara merupakan sebuah platform berasaskan web yang dibangunkan bagi membantu pengurusan tanah perkuburan secara digital melalui penyimpanan rekod yang lebih tersusun, selamat dan mudah dicapai. 

Sistem ini membolehkan maklumat jenazah, waris dan lot perkuburan direkodkan secara sistematik serta memudahkan proses carian lokasi kubur oleh waris dan orang awam.

Antara fungsi utama yang ditawarkan oleh Sistem i-Pusara termasuklah tempahan tanah perkuburan secara dalam talian, pengurusan maklumat jenazah dan waris, rekod koordinat dan status lot kubur, pengurusan urusan pengebumian secara sistematik serta kemudahan carian lokasi kubur yang lebih pantas dan tepat. 

Malah, sistem ini turut membantu mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual yang berisiko hilang, rosak atau sukar diakses.

Menurut Dr. Ameerah, pembangunan Sistem i-Pusara merupakan satu usaha untuk membantu institusi masjid dan pengurusan tanah perkuburan memanfaatkan teknologi digital dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan maklumat.

“Sistem i-Pusara dibangunkan bagi menyediakan satu platform pengurusan tanah perkuburan yang lebih cekap, sistematik dan mesra pengguna. 

“Kami berharap sistem ini dapat membantu pihak pengurusan masjid dalam menguruskan rekod tanah perkuburan dengan lebih teratur serta memudahkan waris mendapatkan maklumat lokasi pusara ahli keluarga mereka dengan cepat dan tepat,” ujarnya. 

Sepanjang sesi latihan, para peserta telah diberikan penerangan berkaitan fungsi dan ciri-ciri utama sistem, kaedah log masuk, proses pendaftaran rekod baharu, pengemaskinian maklumat serta penggunaan modul carian lokasi pusara. 

Latihan turut disertakan dengan demonstrasi penggunaan sistem secara langsung bagi memberi pengalaman praktikal kepada peserta dalam mengendalikan sistem tersebut.

Sesi latihan yang berlangsung dalam suasana interaktif itu mendapat sambutan yang amat baik daripada pihak pengurusan masjid. 

Para peserta mengambil peluang untuk mengemukakan pelbagai soalan berkaitan penggunaan sistem serta berkongsi pandangan mengenai kaedah terbaik pelaksanaannya mengikut keperluan pengurusan tanah perkuburan setempat.

Pelaksanaan Sistem i-Pusara dijangka memberi impak yang signifikan kepada komuniti setempat khususnya dalam aspek pengurusan tanah perkuburan yang lebih cekap, teratur dan berintegriti. 

Sistem ini bukan sahaja membantu pihak pengurusan masjid mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual, malah memudahkan waris mendapatkan maklumat lokasi pusara dengan lebih cepat dan tepat. 

Selain meningkatkan kecekapan operasi pengurusan tanah perkuburan, sistem ini turut menyokong pemeliharaan rekod secara digital bagi memastikan maklumat dapat diakses dengan lebih mudah oleh generasi akan datang.

Inisiatif ini turut menyokong Agenda Transformasi Digital Negara dan aspirasi UMPSA dalam memperkasa pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat melalui pembangunan penyelesaian digital yang praktikal dan berimpak tinggi. 
Kejayaan pelaksanaan Sistem i-Pusara di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bukit Rangin diharapkan dapat menjadi model rujukan kepada institusi masjid dan pengurusan tanah perkuburan lain di Malaysia dalam usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada komuniti.

Program ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan masyarakat melalui penyelidikan dan inovasi yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih lestari dan berdaya saing.

Disediakan Oleh: Ts. Azlina Zainuddin, Fakulti Komputeran

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri