Skip to main content

Lebih 1,500 hadir Jelajah Aspirasi Malaysia RTM dan Sambutan Malam Ambang Merdeka UMPSA

GAMBANG, 31 Ogos 2024 - Lebih 1,500 hadir Jelajah Aspirasi Malaysia RTM dan Sambutan Malam Ambang Merdeka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini di Stadium Mini UMPSA, Kampus Gambang.  

Majlis telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan disaksikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Program yang julung kali diadakan itu merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti Larian Ambang Merdeka, senamrobik, persembahan nyanyian patriotik, gendang Pahang dan silat, gendang Cina, tarian India, tarian Kadazan, puisi, pidato, kuiz kemerdekaan, persembahan dari artis jemputan Ezra Kairo, Dahlia Farhana dan DJ Anna Pahang FM.

Larian Ambang Merdeka anjuran UMPSA disertai lebih dari 500 peserta yang telah berlari sejauh lima kilometer. 
Para peserta terdiri daripada pelajar, staf UMPSA dan penduduk sekitar. 

Lebih 1,500 hadir Jelajah Aspirasi Malaysia RTM dan Sambutan Malam Ambang Merdeka UMPSA

Acara pelepasan larian telah dilakukan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Seramai 100 anak merdeka hadir dan diraikan pada malam itu dan ia turut dicatatkan di dalam The Malaysia Book of Records sempena himpunan terbesar anak-anak merdeka seluruh negara.

Adabi Kuantan Sdn. Bhd. selaku penaja utama makan malam turut menganjurkan Pertandingan Kopi Tarik dan mengadakan jualan gudang yang menarik perhatian pengunjung. 

Adabi Kuantan Sdn. Bhd. juga menyediakan 1,500 pek makanan kepada para pengunjung. 

100 sukarelawan UMPSA bersama petugas Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan staf UMPSA Holdings Sdn. Bhd. juga telah menganjurkan misi penanaman 67 batang pokok di sekitar UMPSA Kampus Gambang sebagai simbolik usia kemerdekaan yang ke-67 tahun. 

Antara pokok yang ditanam adalah pokok Buchida, Kelat Jambu Laut, Merawan Penak dan Hujan-hujan. 

Majlis turut menyaksikan Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menerima anak pokok yang ke-67 yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, tahun ini negara akan menyambut Hari Kebangsaan yang Ke-67 tahun.

“Dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, ia melambangkan kesepaduan secara holistik, dengan menekankan pentingnya mencapai kemerdekaan sebenar dalam jiwa dan membentuk masyarakat yang bertamadun dan beradab.

“Saya ingin mengingatkan kepada mahasiswa dan hadirin yang hadir tentang kemerdekaan yang sebenar adalah kebebasan minda dan jiwa kita yang dapat dipupuk menerusi pemerkasaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama iaitu agama, bahasa, pendidikan serta akhlak.

“Perlu juga kita ingat bahawa kemerdekaan bukan hanya tentang bebas daripada batasan luar, tetapi juga tentang kebebasan dari had-had yang kita letakkan pada diri kita sendiri.

“Kita mempunyai kebebasan untuk mencapai apa yang kita impikan namun kita perlu mengetahui batas sempadan kebebasan tersebut,” ujarnya. 

Manakala Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dalam ucapan perasmiannya turut mengingatkan bahawa tema ‘Jiwa Merdeka’ tahun ini membawa maksud kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas dari penjajahan tetapi termasuk juga kebebasan jiwa, kebebasan pemikiran, dan kebebasan untuk mencapai apa yang terbaik dalam hidup.

Lebih 1,500 hadir Jelajah Aspirasi Malaysia RTM dan Sambutan Malam Ambang Merdeka UMPSA

“Jiwa merdeka menggambarkan semangat yang bebas daripada belenggu ketakutan dan kejahilan, dan sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab untuk memastikan semangat ini terus hidup dan berkembang dalam diri kita,” katanya.

Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah turut menasihati kepada pelajar-pelajar yang merupakan tulang belakang masa depan negara untuk menghayati makna sebenar kemerdekaan, bukan hanya dalam kata-kata tetapi juga dalam tindakan. 

Hadir sama Pengarah Penyiaran, Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Tuan Haji Ariffin Awang, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini juga, Pusat Teknologi Digital (DiTEC) UMPSA turut menyemarakkan jiwa merdeka dengan menganjurkan beberapa program sepanjang bulan kebangsaan ini seperti Program Kelestarian bagi mengumpul barang kitar semula dan Go Green Day.  

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad