Lebih 300 pelajar dan warga UMPSA rai keberangkatan Kembara Sultan Pahang 1.0
PEKAN, 23 April 2025 - Lebih 300 pelajar dan warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hadir bagi memeriahkan sambutan Konvoi Kembara Sultan Pahang 1.0 yang melalui kampus UMPSA baru-baru ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bersama rombongan adalah bersempena dengan Program Penutup Kembara Sultan Pahang 1.0 yang melibatkan daerah-daerah Temerloh, Maran, Bera dan Pekan.
UMPSA merupakan salah satu lokasi persinggahan terakhir konvoi sebelum Majlis Penutup yang berlangsung di Pantai Lagenda, Pekan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA, bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Ir. Dato’ Dr. Ahmad Ziad Sulaiman turut hadir menyambut keberangkatan Baginda Tuanku sekeluarga serta menyertai Majlis Penutup di Pantai Lagenda.
Manakala, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli bersama-sama dengan warga UMPSA bersedia menanti laluan konvoi di hadapan pintu masuk UMPSA.
Seramai 50 pelajar daripada Badan Beruniform UMPSA turut sama memeriahkan majlis bagi menunjukkan semangat kesetiaan dalam menyambut keberangkatan Diraja di Pantai Lagenda, Pekan.
Menurut pelajar Fakulti Komputeran (FK), Nur Hidayatul Adawiyah Zakaria yang berasal dari Sarawak, beliau berasa sangat teruja dapat berjumpa sekali lagi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
“Saya sangat terharu kerana tidak menyangka akan berpeluang bertemu dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sekali lagi setelah kali pertama bertemu Baginda di Sarawak.
“Program Kembara Sultan Pahang 1.0 ini sangat bermakna kerana dapat mengeratkan hubungan antara Tuanku dan juga rakyat.
“Rakyat amat menghargai keberangkatan Baginda, lebih-lebih lagi apabila Tuanku sudi mencemar duli ke kawasan-kawasan kampung yang jarang dilawati,” ujarnya penuh bangga.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 131 views