Mahasiswa UMPSA cipta nama di SIGMA 2026, raih pingat gangsa SDG
KANGAR, 20 Ogos 2026 — Penglibatan aktif barisan kepimpinan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA 2026) membuahkan hasil membanggakan apabila berjaya meraih pingat gangsa bagi Kluster Impak dan Kelestarian (SDG) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos lalu.
Program tiga hari yang bertemakan ‘Jitu Berinovasi, Kepimpinan Berimpak’ tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Penganjuran program berprestij ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Yayasan Perkasa Siswa dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASKUM).
Penglibatan delegasi UMPSA diwakili oleh 20 orang mahasiswa dan diiringi oleh Pengurus, Akademik A.D.A.B, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais yang berhimpun bersama-sama barisan wakil daripada pelbagai universiti awam (UA) serta Government-Linked Universities (GLU) dari seluruh negara.
Inisiatif SIGMA 2026 bertindak sebagai platform utama bagi pembentangan program, inovasi, serta inisiatif berimpak tinggi yang dirangka khusus oleh mahasiswa.

Di samping itu, penyertaan ini turut berperanan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara IPT serta memperkayakan ekosistem pembangunan mahasiswa di peringkat nasional.
Pencapaian menerusi Kluster Impak dan Kelestarian (SDG) ini membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa UMPSA bukan sekadar penyertaan biasa, malah mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi projek berasaskan komuniti dan kelestarian.
Pihak pengurusan UMPSA merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas penglibatan serta dedikasi seluruh delegasi UMPSA yang telah mengharumkan nama universiti di persada kebangsaan.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
- 20 views
Reports by: