Skip to main content

Mahasiswa UMPSA santuni komuniti melalui inisiatif program Kampung Sahur dan Singgah Sahur

PEKAN, 16 Mac 2026 – Semangat kebersamaan dan keprihatinan sempena bulan Ramadan terus dizahirkan melalui pelbagai inisiatif kebajikan anjuran Yayasan UMPSA yang menghimpunkan mahasiswa dan komuniti dalam suasana penuh keberkatan. 

Melalui tiga program utama iaitu Kampung Sahur@Pahang 2026, Singgah Sahur@Kuantan 2026 dan Singgah Sahur@Kuala Lumpur 2026, para sukarelawan mahasiswa turun padang menyantuni masyarakat serta menghargai golongan yang berkhidmat pada waktu malam.

Inisiatif Ramadan ini melibatkan seramai 90 orang sukarelawan dengan manfaat yang telah disalurkan kepada lebih 500 orang penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat, pelajar luar kampus, penghuni pusat jagaan serta anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada waktu malam.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat dalam bentuk agihan juadah sahur dan bantuan kebajikan, malah menjadi platform penting dalam memupuk nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Program Kampung Sahur@Pahang 2026 telah berlangsung pada 1 Mac 2026 di Masjid Al-Taqwa, Felda Kota Gelanggi 1 dan 3, Jerantut, Pahang dengan penglibatan seramai 25 orang sukarelawan mahasiswa bersama komuniti setempat. 

Program tersebut menyaksikan mahasiswa dan penduduk kampung berganding bahu menyediakan juadah sahur secara gotong-royong dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekitaan.

Selain penyediaan makanan sahur, program turut diserikan dengan sesi penyampaian bantuan kepada komuniti setempat sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap masyarakat sekitar. 

Inisiatif ini secara tidak langsung memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti, di samping menyemai nilai empati serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, program Singgah Sahur@Kuantan 2026 pula telah berlangsung pada 7 hingga 8 Mac yang memberi tumpuan kepada penghargaan terhadap pelajar luar kampus dan petugas malam yang terus berkhidmat demi kesejahteraan masyarakat. 

Seramai 20 orang sukarelawan Yayasan UMPSA terlibat secara langsung dalam penyediaan dan pengagihan pek juadah sahur di beberapa lokasi sekitar Kuantan.

Antara lokasi yang diziarahi termasuk kediaman pelajar UMPSA luar kampus di sekitar Gambang, Balai Polis Gambang, Balai Polis Kuantan serta Balai Bomba Bukit Ubi. 

Mahasiswa UMPSA santuni komuniti melalui inisiatif program Kampung Sahur dan Singgah Sahur

Agihan pek makanan sahur ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan sahur penerima, malah menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas tanpa mengira waktu.

Program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan anggota keselamatan dan masyarakat setempat, sekali gus membuka ruang kepada mereka memahami peranan penting agensi keselamatan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara.

Kemuncak inisiatif Ramadan Yayasan UMPSA diteruskan melalui penganjuran Program Singgah Sahur@Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung pada 14 hingga 15 Mac  dengan pelbagai pengisian berbentuk khidmat komuniti dan kebajikan di sekitar ibu kota.

Program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

Para sukarelawan mahasiswa membantu pihak masjid menyediakan kelengkapan dan pengurusan majlis berbuka puasa untuk jemaah serta masyarakat setempat. 

Penglibatan ini memberi pengalaman bermakna kepada mahasiswa dalam menyantuni komuniti bandar raya dan memperkukuh semangat ukhuwah dalam kalangan sukarelawan.

Selain itu, delegasi sukarelawan bersama barisan kepimpinan universiti turut mengadakan ziarah kasih ke pusat jagaan bagi menyantuni golongan anak yatim dan asnaf. Kehadiran Pengerusi Yayasan UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias telah menyerikan lagi sesi kunjungan ke Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah serta Pusat Jagaan Kasih Murni, Kuala Lumpur. 

Dalam kunjungan tersebut, para sukarelawan menjalankan pelbagai aktiviti interaksi bersama penghuni pusat jagaan, di samping menyampaikan sumbangan makanan kering, barangan keperluan asas serta duit raya sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan Yayasan UMPSA dalam membantu meringankan beban penghuni pusat jagaan serta membuat persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang. 

Inisiatif ini bukan sahaja memberi sokongan material kepada penerima, malah membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami realiti kehidupan komuniti yang memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat.

Program Singgah Sahur di Kuala Lumpur turut memberi tumpuan kepada penghargaan terhadap agensi keselamatan dan barisan hadapan yang terus berkhidmat demi keselamatan rakyat. 

Delegasi Yayasan UMPSA telah mengadakan kunjungan ke Balai Polis Setiawangsa dan Balai Bomba dan Penyelamat Keramat bagi menyerahkan pek makanan sahur sebagai simbol penghargaan terhadap komitmen mereka.

Sebagai penutup program, para sukarelawan berkumpul di Dataran Merdeka untuk menikmati sahur secara berjemaah dalam suasana harmoni yang penuh makna. 

Detik tersebut menjadi ruang refleksi buat mahasiswa mengenai kepentingan tanggungjawab sosial dan nilai kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ketiga-tiga inisiatif Ramadan ini telah berjaya menghimpunkan mahasiswa, komuniti setempat serta pelbagai agensi dalam satu usaha kebajikan yang menyentuh pelbagai lapisan masyarakat. 

Program ini turut membuktikan bahawa keprihatinan dan semangat kesukarelawanan mahasiswa mampu menjadi jambatan yang menghubungkan universiti dengan masyarakat secara lebih dekat.

Yayasan UMPSA akan terus mempergiatkan penganjuran program kebajikan seperti ini bagi menyemai budaya infak, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. 

Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan dan komitmen tinggi terhadap khidmat bakti kepada masyarakat.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri