Skip to main content

Majlis Sanjungan Budi rai kepimpinan UMPSA

PUTRAJAYA, 16 Ogos 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Majlis Sanjungan Budi bagi menghargai tokoh kepimpinan universiti yang terdiri daripada mantan Ahli Lembaga Pengarah UMPSA dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan UMPSA.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, majlis ini adalah sebagai penghargaan bagi mengiktiraf tokoh kepimpinan yang banyak menyumbang bakti di universiti sepanjang tempoh pelantikan mereka.

“Majlis hari ini  diadakan untuk menghargai komitmen dan sumbangan yang dicurahkan oleh Ahli Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Farah Ain Madzlan yang juga alumni universiti ini.

“Sumbangan beliau sangat besar impaknya buat universiti terutamanya dalam menyantuni masyarakat menghulurkan bantuan kebajikan buat pelajar dan komuniti setempat. 

“Segala jasa bakti dan sumbangan berupa tenaga, masa, buah fikiran, pandangan dan pengalaman pastinya banyak menyumbang kepada kejayaan buat universiti ini,” ujarnya. 

Majlis Sanjungan Budi rai kepimpinan UMPSA

Sementara itu, Farah Ain yang pengalaman tiga tahun bersama Yayasan UMPSA pastinya menjadi suatu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Ujarnya, sebagai alumni, keterlibatannya dalam Yayasan UMPSA memberi peluang buatnya terus berbakti terutamanya dalam menjayakan Program Kembara Prihatin dan Kembara Lestari dan lain-lain.

“Saya turut berbangga dengan kejayaan Yayasan UMPSA bermula daripada MyGift dan kini meniti usia sepuluh tahun penubuhan dengan pelbagai inisiatif dan aktif mengumpul dana untuk kebajikan pelajar dan manfaat komuniti setempat,” katanya. 

Beliau turut mengimbas kenangan sewaktu dalam pengajian ketika mengusahakan dana bagi projek Mahasiswa Bina Masjid bersama Madyasir Ahmad Basir yang juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Wakil Alumni.

Sebagai alumni UMPSA, beliau juga mengharapkan agar alumni dapat terus menyumbang untuk pembangunan universiti ini.

Turut sama hadir Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato' Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran yang juga ahli LPU UMPSA, Profesor Ir. Dr. Mohamad Faizal Jamlos, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pendaftar, Dato ‘Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri