Majlis Syarahan Umum Profesor kongsi kepakaran dalam inovasi bahan kimia khusus dan grafin
GAMBANG, 4 April 2024 - Majlis Syarahan Umum Profesor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memberi peluang para akademia berkongsi kepakaran dan memperkayakan ilmu pengetahuan dengan pemikiran intelektual berkaitan dengan isu-isu kontemporari dan budaya masyarakat di negara ini.
Program itu menyaksikan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) sebagai penganjur dengan penyelarasan di bawah Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA).
Menurut Dekan FTKKP, Profesor Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin@Murad, program kali ini memperkenalkan tokoh cemerlang UMPSA iaitu Penolong Naib Canselor, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim menerusi syarahannya bertajuk ‘Inovasi Bahan Kimia Khusus - Memacu Pembangunan Lestari’.
“Manakala Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh pula menyampaikan syarahannya bertajuk ‘Grafin - Emas Hitam Abad 21’.
“Kedua-dua profesor ini telah memberikan sumbangan yang tidak terperi bukan sahaja dalam bidang masing-masing malah kepada institusi dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts Yusserie Zainuddin melancarkan gimik pelancaran buku Inovasi Bahan Kimia Khusus, Memacu Pembangunan Lestari dan buku Grafin Emas Hitam Abad 21.
Hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Dato’ Indera Muhammad Shahar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, dekan fakulti dan ketua-ketua jabatan.
Lebih 300 mahasiswa dan staf UMPSA serta pelajar sekolah hadir dalam program itu yang berlangsung di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 66 views