Skip to main content

Memahami fenomena kesan angin Ribut Tropika Senyar, risiko sebenar, kekuatan angin dan keperluan kesiapsiagaan

PEKAN, 28 November 2025 - Ribut Tropika Senyar yang dikesan di perairan Selat Melaka telah memasuki perairan Malaysia sejak 3.30 petang Khamis (27 November) dan dijangka akan berterusan sehingga pagi Sabtu (29 November) ini. 

Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip dalam sidang media yang diadakan bagi masyarakat bersiap siaga dengan faktor hujan lebat luar biasa berterusan susulan kesan Ribut Tropika Senyar yang dijangka melanda negara. 

Sejak semalam, sejurus selepas sidang media khas oleh MetMalaysia, timbul pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. 

Memahami fenomena kesan angin Ribut Tropika Senyar, risiko sebenar, kekuatan angin dan keperluan kesiapsiagaan

Ada yang bimbang, ada yang tertanya-tanya, dan ada juga yang keliru tentang sejauh mana Ribut Tropika Senyar boleh memberi kesan kepada kawasan yang terlibat. 

Lanjutan daripada itu, menurut Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Noram Irwan Ramli, Ribut Tropika Senyar yang kini berada di Selat Melaka dan berpotensi melintasi kawasan pantai Barat Semenanjung dan juga Pahang menarik perhatian kerana fenomena seperti ini jarang berlaku di negara kita. 

“Berdasarkan jangkaan kelajuan angin sekitar 50 km/j, angin ini dikategorikan sebagai angin kencang yang berpotensi memberi ancaman kepada struktur bangunan tertentu (Rujuk Jadual). 

“Namun pada tahap ini, ia masih belum mencapai kekuatan yang boleh merosakkan struktur kukuh yang dibina mengikut prinsip kejuruteraan.

“Rumah batu, rumah teres dan bangunan konkrit dengan sambungan bumbung yang betul serta dinding galas beban yang mencukupi mempunyai risiko kerosakan yang rendah. 

“Fokus sebenar perlu diberikan kepada struktur dan elemen yang tidak dibina sekuat bangunan kekal,” ujarnya.

Oleh itu katanya, kita perlu cepaf mengenal pasti risiko risiko sebenar dan impak yang boleh terjadi.

“Dalam pada itu, kategori yang paling berisiko ketika angin daripada sistem seperti Ribut Tropika Senyar ialah struktur sementara seperti khemah, kanopi, gerai pasar malam, stor ringan dan bumbung tambahan. 

“Aktiviti pasar malam wajar dihentikan sementara kerana risiko tinggi.

“Begitu juga dengan objek ringan yang mudah tercabut seperti zink lama, papan tanda longgar, kepingan plastik, kayu kecil dan peralatan luar rumah.

“Serpihan terbang boleh menyebabkan kecederaan, memecahkan cermin kenderaan dan mencetuskan kemalangan jalan raya,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, struktur dan bangunan lama yang tidak diselenggara dengan baik, serta pokok-pokok besar yang sudah tua atau lemah, boleh mendatangkan risiko tumbang dan menghempap kenderaan atau menghalang laluan.

“Malahan risiko pemanduan akibat hujan lebat, angin sisi dan serpihan di atas jalan juga boleh mendatangkan bahaya buat orang ramai. 

“Berdasarkan kajian saya, Malaysia jarang berdepan ribut tropika menjadikan masyarakat kita kurang terdedah dan kurang bersedia berbanding negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam yang lebih berpengalaman menghadapi ribut setiap tahun. 

“Dalam keadaan seperti ini, tahap kesiapsiagaan lebih penting daripada kekuatan angin itu sendiri,” katanya.

Ujarnya, fenomena ini bukan bencana besar dari segi angin, tetapi kesannya boleh menjadi serius jika struktur sementara, objek ringan dan kawasan sekitar tidak diperkukuhkan. 

“Kesiapsiagaan menentukan sama ada keadaan kekal terkawal atau sebaliknya.

“Sebagai langkah keselamatan, struktur sementara perlu diturunkan, objek ringan disimpan atau diikat, pasar malam ditangguhkan, dan pokok besar yang lemah perlu dielakkan. 

“Risiko kerosakan kepada struktur kukuh adalah rendah, tetapi risiko tinggi terletak pada struktur sementara, objek ringan dan serpihan terbang,” jelasnya. 

Dr. Noram menambah, begitu juga dengan pemanduan, para pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan dalam apa jua situasi. 

“Dengan persediaan yang betul, keadaan ini dapat dihadapi dengan lebih selamat,” katanya.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
AINIEY