Menteri Pendidikan Tinggi lancar 2 terbitan baharu Penerbit UMPSA di PBAKL 2026
KUALA LUMPUR, 6 Jun 2026 – Program Telaah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menampilkan sesi perkongsian oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengenai lima karya pilihan yang banyak membentuk perspektif beliau terhadap aspek pendidikan, kepimpinan, hubungan antarabangsa dan pembangunan insan.
Selepas sesi perkongsian, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry telah menyempurnakan pelancaran dua naskhah terbitan baharu Penerbit UMPSA iaitu ‘Survival Dynamics: The Lost Mines of Sungai Lembing’ dan ‘Jom Jadi Usahawan Bersama ILM’.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi MAPIM, Profesor Madya Dr. Siti Rahmah Awang, Pengarah Penerbit UMPSA, Ts. Dr. Rozaimi Abu Samah; Timbalan Pengerusi Pemasaran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Muhammad Azli Shukri.
Buku ‘Survival Dynamics: The Lost Mines of Sungai Lembing’ merupakan hasil penulisan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA, Ts. Dr. Luqman Hakim Ahmad Shah, Ts. Dr. Mohd Hazwan Yusof dan beberapa penulis lain.
Buku ini mengisahkan lima sahabat yang terperangkap di dalam sebuah gua di Sungai Lembing dan perlu mengaplikasikan teori Dynamics bagi mencari jalan keluar, sekali gus memperkenalkan konsep kejuruteraan melalui pendekatan penceritaan yang menarik.
Sementara itu, buku ‘Jom Jadi Usahawan Bersama ILM’ yang ditulis oleh pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Haji Md. Razak, Profesor Madya Dr. Ku Muhammad Na’im Ku Khalif dan Noraazura Durani mengetengahkan dunia keusahawanan menerusi pendekatan interaktif.
Dilengkapi ilustrasi berwarna-warni dan gaya penyampaian santai, buku ini memudahkan pembaca, khususnya golongan muda, memahami asas perniagaan dengan lebih menarik dan berkesan.
Kedua-dua terbitan Penerbit UMPSA yang dilancarkan menampilkan pendekatan kreatif dalam penyampaian ilmu, sama ada melalui penceritaan berasaskan konsep kejuruteraan mahupun pengenalan kepada dunia keusahawanan.
Pelancaran ini menjadi antara pengisian utama Penerbit UMPSA sepanjang penyertaannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Oleh: Muhammad Azli Shukri, Penerbit UMPSA
- 92 views