Skip to main content

Menteri Pendidikan Tinggi rasmi Kilang Pengajaran Automotif UMPSA

PEKAN, 28 Ogos 2026 - Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir merasmikan Kilang Pengajaran Automotif (Automotive Teaching Factory) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam memperkukuh penyelidikan dan inovasi teknologi automotif selaras dengan keperluan industri.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Pusat Kejuruteraan Automotif dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA. 

Turut sama hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias. 

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kunjungan ini berpeluang meninjau perkembangan evolusi automotif UMPSA selama 25 tahun terutamanya berkaitan teknologi kejuruteraan mekanikal dan automotif meliputi enjin pembakaran dalaman (Internal Combustion Engine, ICE), hibrid, kenderaan elektrik (Electric Vehicle, EV), autonomi dan aeroangkasa.

“Lawatan ini juga sebahagian daripada inisiatif ‘Industry on Campus’ UMPSA yang merupakan antara agenda pembangunan universiti dalam memperkukuh hubungan universiti dengan industri,” katanya.

Turut dipamerkan produk penyelidikan dan inovasi berkaitan teknologi ICE-Hybrid-EV serta fasiliti penyelidikan FTKMA termasuk Makmal Enjin Dinamometer (Dyno Engine Laboratory), Makmal Kenderaan Elektrik (EV Laboratory) dan Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik (EV Charger).

Menteri Pendidikan Tinggi rasmi Kilang Pengajaran Automotif UMPSA

Lain-lain dipamerkan kenderaan autonomi taktikal baharu dikenali sebagai Tactical Utility Autonomous Hybrid (TUAH) hasil kerjasama strategik antara DEFTECH dan UMPSA dalam pembangunan teknologi pertahanan berautonomi di Malaysia.

Manakala pameran lain termasuklah berkaitan produk gabungan dron dan roket sebagai dimensi baharu dalam operasi pemintasan dron bagi memperkukuh sektor keselamatan, pertahanan dan perlindungan infrastruktur kritikal.

Profesor Ts. Dr. Yatimah berharap kunjungan Yang Berhormat Menteri ini akan terus memperkukuh semangat kebersamaan serta menjadi pemangkin kepada UMPSA untuk terus melangkah maju sebagai universiti teknikal terunggul dan relevan dalam mendukung aspirasi negara.

Selain itu, kehadiran Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry ini turut memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga UMPSA, malah memperlihatkan keprihatinan serta sokongan padu KPT terhadap usaha universiti dalam melahirkan bakat berkualiti, memperkukuh ekosistem inovasi dan memacu agenda pendidikan tinggi negara.

Kunjungan ini berlangsung bersempena dengan Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur yang dianjurkan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama UMPSA.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri