Menteri Pendidikan Tinggi santuni lebih 500 pemimpin muda IPT Zon Timur di UMPSA
PEKAN, 27 Ogos 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI (Zon Timur) 2026 yang menghimpunkan seramai lebih 500 orang pensyarah dan pentadbir muda berumur 40 tahun ke bawah daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Program yang berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan ini menjadi platform perkongsian dan jaringan strategik antara Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dengan golongan pensyarah serta pentadbir muda daripada universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Menurut Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI merupakan program pembangunan kepimpinan asas dalam membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan warga muda IPT, sekali gus memperkukuh keupayaan generasi pelapis dalam mendukung agenda pendidikan tinggi negara.

“Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur 2026 ini mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh pembangunan bakat kepimpinan dalam kalangan warga muda IPT, di samping menyediakan ruang jaringan dan perkongsian pengalaman secara langsung” katanya.
“Program ini turut memperlihatkan usaha berterusan dalam membentuk pemimpin muda pendidikan tinggi yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan intelektual dan profesional, malah berjiwa besar, berpandangan jauh serta berkeupayaan memimpin perubahan demi masa depan pendidikan tinggi negara,” ujarnya.
Beliau turut berbangga apabila Dewan Konvokesyen UMPSA siap sepenuhnya mengikut jadual dan memberi manfaat buat warga universiti.

Dalam pada itu, program ini turut menampilkan pelbagai pengisian seperti Program Pembangunan Kepimpinan AKEPT oleh Timbalan Pengarah AKEPT, Profesor Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman.
Peserta juga turut mengikuti sesi Kepimpinan 3H (Head, Heart, Hand) yang dikendalikan oleh Pensyarah UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Ab Razak bersama Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang juga Felo Muda AKEPT, Dr. Nurul Hidayah Mat.
Selain itu, turut berlangsung forum bertajuk ‘One Higher Education Act: Memperbaharui Kerangka Perundangan Pendidikan Tinggi Negara yang menampilkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain serta Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga Ketua Felo Muda AKEPT, Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee.
Manakala forum yang dikendalikan oleh Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Jannah Mustafa Khan turut menjadi platform perbincangan mengenai pembaharuan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara.
Pengisian program ini memberi ruang kepada para peserta untuk mendalami aspek kepimpinan serta memahami isu dan hala tuju pembangunan pendidikan tinggi negara.
Dalam program ini, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menyantuni para peserta menerusi sesi Townhall yang memberi ruang kepada warga muda IPT untuk bersama-sama berkongsi pandangan dan aspirasi mengenai pembangunan pendidikan tinggi serta peranan golongan muda sebagai pemimpin masa hadapan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Surat Watikah Lantikan CEO@Faculty kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz dan Naib Presiden merangkap Pengarah Urusan Western Digital Tech and Regional Center (M) Sdn. Bhd., Datuk Raghu Bathamenadan.
Pada masa yang sama turut berlangsung penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki (CF)/Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) Dewan Konvokesyen UMPSA daripada Wakil JKR Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Pasukan Projek JKR Pahang, Ir. Ts. Adnan Ladin.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut melancarkan Automotive Teaching Factory sempena lawatan ke Pusat Kejuruteraan Automotif serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) bagi menyaksikan sendiri evolusi teknologi kejuruteraan mekanikal dan automotif universiti yang merangkumi teknologi enjin pembakaran dalaman atau Internal Combustion Engine (ICE), hibrid, kenderaan elektrik (EV), autonomi dan aeroangkasa.
Lawatan turut meninjau produk penyelidikan dan inovasi berkaitan teknologi ICE–Hybrid–EV yang dibangunkan oleh warga penyelidik UMPSA.
Beliau turut melawat beberapa fasiliti penyelidikan di FTKMA, termasuk Makmal Enjin Dyno, Makmal EV dan Stesen EV Charger bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan serta operasi penyelidikan berkaitan teknologi automotif masa hadapan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 24 views
Reports by: