Merakyatkan Perlembagaan tingkat pemahaman masyarakat
Pekan, 9 September 2020 - Dengan merakyatkan perlembagaan dapat memberi pemahaman kepada masyarakat dan generasi muda tentang apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bagaimana kita dapat mengekalkan identiti warisan seperti kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, adat resam dan hukum syarak, bahasa dan lain-lain pada masa hadapan.
Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr. Shamrahayu Ab Aziz, masyarakat juga perlu didedahkan dengan segenap aspek yang termaktub di dalam Perlembagaan seperti perundangan, sejarah, budaya, agama, politik dan hubungan etnik.
“Ini termasuklah sejarah kerjasama etnik ketika menuntut kemerdekaan atau ketika menggubal Perlembagaan dan rasionalnya sesuatu peruntukan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan.
“Selain itu, semangat dan falsafah Perlembagaan bukan sahaja berbentuk perundangan semata-mata, ianya juga mempunyai unsur tradisi.
“Dengan memahami konsep kemerdekaan yang ada di dalam Perlembagaan, ia dapat diaplikasikan untuk meneruskan kelangsungan kemerdekaan berdasarkan peruntukan yang ada,” tambah beliau.
Perkongsian sejarah bagaimana membina negara dan bangsa, kesan kemerdekaan dalam membina negara yang merdeka dan berdaulat serta diterima dunia juga perlu difahami generasi akan datang agar mereka sebagai pewaris bangsa dapat mengekalkan identiti warisan negara.
Profesor Dr. Shamrahayu yang hadir dalam Program Bicara Cendekiawan Mulia Universiti Malaysia Pahang (UMP) membincangkan topik ‘Merdeka Dalam Perlembagaan Malaysia’ baru-baru ini turut berkongsi tentang kepentingan rakyat, kemakmuran, cara hidup dan kehidupan negara demokrasi yang seimbang dengan nilai-nilai dan ciri-ciri tempatan dan warisan.
“Mahasiswa perlu diberi galakan untuk mengenali Perlembagaan. Walaupun kita masih ketandusan penghayatan terhadap peruntukan Perlembagaan, namun terdapat kesedaran bermula sejak sepuluh tahun kebelakangan ini menyebabkan masing-masing mahu mencapai kefahaman lebih mendalam termasuk menghayati Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pentingnya kursus wajib di universiti seperti Kursus Kenegaraan, Kursus Hubungan Etnik dan yang terkini Kursus Etika dan Peradaban bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap Perlembagaan dan aplikasinya dalam kehidupan seharian selepas mereka bergraduat kelak.
Selain itu tegas beliau, mahasiswa juga perlu disedarkan tentang tanggungjawab dan peranan mereka bukan sahaja untuk mengikuti kursus di universiti namun sumbangan mereka terhadap negara menjelang 100 tahun merdeka nanti sebagai generasi pewaris negara yang boleh memastikan nilai warisan menjadi pemangkin dan tonggak peradaban Malaysia.
Ujarnya lagi, apabila kita menanam rasa cinta terhadap nilai warisan dengan sendirinya Perlembagaan itu dapat dirakyatkan termasuklah dengan menganjurkan pelbagai program tentang ketatanegaraan dan menanam kepentingan menjaga adab susila dalam masyarakat.
“Kita semua tumbuh dari bumi. Kita tidak tumbuh dari langit, pucuk kita biar mencucuk langit tetapi akar kita kukuh melata di bumi.
“Pastinya banyak cabaran yang akan dilalui sama ada dalam dan luar negara. Antaranya, persoalan adakah Perlembagaan ini mampu menangani cabaran dan permasalahan kontemporari sama ada dalam dan luar negara?. Bagaimana perlembagaan bersedia untuk menghadapi orde baharu dunia?. Ini termasuklah gelombang hak asasi dan keadaan geo politik antarabangsa bagi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.
“Justeru, generasi pewaris negara perlu memastikan nilai warisan dijaga dan kekal menjadi tonggak peradaban Malaysia nanti,” tegas Profesor Dr. Shamrahayu.
Program Siri Bicara Cendekiawan Mulia ini dikendalikan Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Kapten Imaduddin Abidin, yang bertindak sebagai moderator.
Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan pengurusan universiti serta wakil agensi dan masyarakat setempat.
Program ini dilaksanakan sebagai wadah penjanaan ilmu pengetahuan untuk dikongsikan bersama khususnya di negeri Pahang Darul Makmur ini sebagai mendekatkan universiti dengan masyarakat.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 3688 views