Naib Canselor UMPSA hadir Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan KPT 2026
PUTRAJAYA, 5 Mac 2026 – Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hadir memeriahkan Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Za’ba, Putrajaya.
Program yang dianjurkan sempena bulan Ramadan itu menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi kementerian, wakil agensi serta institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi mengukuhkan hubungan silaturahim dan memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menyampaikan amanat kepada warga KPT dengan menekankan kepentingan memperkukuh komitmen dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara.
Beliau menyifatkan KPT sebagai ‘Akal Budi Nusa’ yang menjadi nadi pemikiran negara dalam memartabatkan tradisi ilmu serta membina masyarakat berpengetahuan melalui pengukuhan budaya ilmu dalam organisasi.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, pengurusan tertinggi kementerian serta naib canselor universiti awam (UA).
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan malah menjadi ruang memperkukuh jalinan ukhuwah antara warga kementerian dan institusi pendidikan tinggi.
“Ramadan merupakan bulan terbaik untuk kita memperkukuh nilai kebersamaan, saling menyantuni serta mempererat hubungan antara warga pendidikan tinggi dalam usaha bersama memartabatkan kecemerlangan institusi dan pembangunan modal insan negara.
“Semangat ukhuwah yang dipupuk melalui program seumpama ini turut menyokong aspirasi universiti dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berintegriti dan berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.

Program dimulakan dengan sesi memasak bubur lambuk yang disempurnakan oleh Datuk Dr. Anesee Ibrahim bersama Pengarah Urusan dan Pengasas Al-Malik Marquee & Catering AMC (D’Tandoor), Abdul Malik Abdullah sebelum bubur lambuk tersebut diagihkan kepada warga kementerian sebagai simbolik tradisi Ramadan yang menyemai budaya berkongsi rezeki.
Majlis turut diisi dengan tazkirah Ramadan bertajuk ‘Golongan yang Rugi’ yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang menekankan kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadah serta meningkatkan ketakwaan.
Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 30 penerima dalam kalangan warga kementerian yang terdiri daripada ibu atau bapa tunggal, asnaf, orang kurang upaya (OKU) serta pesakit kronik sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga kementerian.
Program diakhiri dengan solat Maghrib berjemaah dan majlis berbuka puasa bersama yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan, sekali gus memperkukuh lagi semangat ukhuwah dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 19 views
Reports by: