Naib Canselor UMPSA kongsi aspirasi pembangunan bakat global di Hebei University
HEBEI, 10 November 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berpeluang menyampaikan perkongsian bertajuk ‘Beyond Borders: Building Global Talent through Malaysia–China Higher Education Collaboration’ bersama ahli akademik terpilih daripada School of Mathematics and Information Science, Hebei University, China yang turut dihadiri oleh Dekan, Profesor Gao Hongya.
Dalam sesi itu, beliau telah mengetengahkan peranan kerjasama pendidikan tinggi Malaysia–China dalam membangunkan graduan berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi persekitaran antarabangsa.
Ujarnya, kejayaan kerjasama universiti perlu diukur melalui manfaat nyata kepada pelajar, ahli akademik, industri dan masyarakat termasuk peluang pembelajaran, penyelidikan bersama serta peningkatan kesiapsiagaan graduan memasuki dunia pekerjaan.
Beliau turut berkongsi pengalaman pelaksanaan program ijazah dual UMPSA bersama Beijing Jiaotong University, Tianjin University dan Hebei University yang membantu pelajar membina keyakinan, berdikari serta berkomunikasi merentas budaya.
Menurutnya, kerjasama dengan Hebei University dalam bidang analitik data dan teknologi data raya melalui Pusat Sains Matematik (PSM) UMPSA pula merupakan peluang menggabungkan kepakaran matematik, statistik dan sains maklumat dengan kekuatan UMPSA dalam kejuruteraan serta teknologi gunaan bagi menangani cabaran industri.

Selain itu, beliau turut mempromosikan 6th International Conference on Applied & Industrial Mathematics and Statistics (ICoAIMS 2027) serta mempelawa ahli akademik dan penyelidik Hebei University untuk turut serta bagi memperluas perkongsian kepakaran dan jaringan penyelidikan.
Hadir sama Pengarah Confucius Institute UMPSA, Profesor Madya Dr. Lee Khai Loon dan Pengarah (China) Confucius Institute UMPSA. Profesor Dr. Li Lijun.
Dalam pada itu, sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya UA yang melaksanakan 13 program ijazah dual hasil kerjasama strategik jangka panjang dengan institusi pengajian tinggi luar negara seperti Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Technische Hochschule Mannheim (THM), Jerman; Beijing Jiaotong University (BJTU); Tianjin University, China; Hebei University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan serta Hanyang University ERICA Campus, Korea Selatan.
Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor
- 8 views
Reports by: