Naib Canselor UMPSA santuni mahasiswa duduki peperiksaan akhir
PEKAN, 3 Februari 2025 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias hari ini menyantuni mahasiswa UMPSA dengan mengagihkan bekalan air dan roti kepada mereka sebelum menduduki peperiksaan akhir semester 1 sesi 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMPSA, Pekan.
Profesor Dr. Yatimah turut menyampaikan pesanan kepada mahasiswa agar bersiap sedia dan menjaga kesihatan sepanjang musim peperiksaan ini.
“Selamat maju jaya kepada semua, tumpukan sepenuh perhatian dan berikanlah yang terbaik dalam menghadapi peperiksaan ini,
“Sepanjang minggu peperiksaan, UMPSA melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Akademik (PPA) menyediakan bekalan air dan roti kepada mahasiswa sepanjang musim peperiksaan ini sebagai kemudahan pelajar mendapatkan makanan dan bersedia sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
“Pemberian ini merupakan salah satu usaha untuk pihak pengurusan universiti mendekati mahasiswa selain memberi suntikan semangat buat mereka sebelum masuk ke dewan peperiksaan,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Muhammad Haykal Halid turut menzahirkan rasa kesyukuran melalui inisiatif ini dan beliau turut berkesempatan untuk turun bersama-sama pihak pengurusan universiti bagi bertemu mahasiswa lain.
Peperiksaan akhir semester 1 sesi 2024/2025 itu berlangsung mulai hari ini, 3 hingga 19 Februari 2025 di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 107 views