Naib Canselor UMPSA sertai CIEP 2026 himpunkan 3,000 pakar dunia
SHANGHAI, CHINA, 11 November 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, menghadiri majlis perasmian The 24th Conference on International Exchange of Professionals (CIEP 2026) yang telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial China, Wang Xiaoping.
Program ini telah menghimpunkan lebih 3,000 pakar asing dari lebih 120 negara dan wilayah di China yang mencerminkan jangkauan antarabangsa CIEP sebagai platform pertukaran kepakaran dan pengukuhan kerjasama antarabangsa dengan penglibatan terbesar sepanjang penganjurannya.

Bertemakan ‘Gathering the Global Talents, Pursuing Win-win Cooperation’, persidangan ini mengetengahkan kepentingan menghimpunkan bakat antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan serta menyokong pembangunan berteraskan ilmu dan inovasi.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, beberapa pakar penyelidik dan rakan industri UMPSA turut diundang bagi menyertai ‘International Forum on Frontier Technologies in Intelligent Manufacturing and Advanced Materials’ yang memfokuskan perkembangan teknologi dalam bidang pembuatan pintar dan bahan termaju dengan kos dibiaya sepenuhnya oleh pihak penganjur.
Selain itu, pembentangan pakar dan penyelidik UMPSA ini menjadi antara pengisian penting penyertaan universiti dengan pembentangan merangkumi topik berkaitan inovasi bahan, teknologi pembuatan, kecekapan tenaga dan kelestarian.
Ujarnya, perkongsian ini turut membawa perspektif penyelidikan UMPSA dalam menangani keperluan industri terhadap bahan berprestasi tinggi, proses yang lebih cekap dan teknologi yang menyokong kelestarian.
“Malahan penyertaan ini turut membuka ruang kepada UMPSA untuk mengetengahkan kepakaran penyelidiknya, memperluas jaringan akademik dan industri serta meneroka kerjasama penyelidikan dan pembangunan bakat bersama rakan antarabangsa,” katanya.
Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor
- 13 views
Reports by: