Norma baharu MINDS UMP bersiaran secara dalam talian
Pekan, 18 Oktober 2020 - Seramai 30 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya melaksanakan program Minggu Induksi Siswa 2020 (MINDS '20) yang berlangsung secara dalam talian mulai 14 hingga 18 Oktober baru-baru ini yang membabitkan seramai 2,110 mahasiswa baharu bagi sesi pendaftaran 2020/2021.
Bermula dengan gerak kerja pada bulan Ogos, kumpulan mahasiswa ini memulakan tugasan dengan pencarian moderator dan fasilitator serta memulakan perancangan gerak kerja sepenuhnya pada bulan September.
Pada masa itu, mahasiswa terpilih menimba ilmu dan kemahiran dengan menyertai Bengkel Moderator, Video Grafik, Fotografi, Microsoft, Teambuilding selain menghadiri mesyuarat pelaksanaan MINDS dan juga rakaman video bagi persiapan pelaksanaan program secara dalam talian.
Menurut Pengarah MINDS 20’, Nurul Ishafira Ismail yang merupakan mahasiswa daripada Fakulti Komputeran, berdepan situasi pandemik Covid-19 merupakan suatu cabaran buat mahasiswa memandangkan mereka terpaksa merancang dengan dua gerak kerja MINDS.
“Pada awalnya, kami merancang dengan pelaksanaan pendaftaran masuk asrama dan juga secara dalam talian tetapi disebabkan kes yang meningkat akhir-akhir ini menyebabkan pendaftaran asrama dan kemasukan pelajar baharu ke kampus terpaksa ditangguhkan.
“Kami mengambil hal ini sebagai hikmah kerana dengan cara ini kita dapat mengurangkan risiko penularan wabak Pandemik Covid-19 ini,” katanya yang ditemui di Studio UMPTV.
“Kami amat menghargai komitmen para fasilitator yang sudi mengerah tenaga dan mengorbankan masa untuk melancarkan program MINDS ini.
“Selain itu, jutaan terima kasih atas sokongan dan bantuan staf UMP terutamanya staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pejabat SUARA UMP kerana bersama-sama menjayakan MINDS secara dalam talian ini,” katanya.
Manakala menurut bagi Yang di-Pertua MPP, Mohd Fitri Zulkafli, pelaksanaan MINDS kali ini mencatat satu sejarah baharu buat bagi menyambut dan meraikan kehadiran mahasiswa baharu sebagai sebahagian keluarga besar UMP.
“Perancangan MINDS’20 adalah dinamik dan memerlukan pihak penganjur mengadaptasi perubahan demi perubahan dalam norma baharu selaras dengan arahan kerajaan khasnya dan keadaan semasa penularan pandemik Covid-19 amnya,” ujar beliau.
Namun katanya, MINDS’20 sarat dengan pengisian campus life meliputi slot Bicara Naib Canselor, slot akademik bersama fakulti, slot aktiviti pelajar dan pelbagai lagi menuntut komitmen seluruh tenaga kerja Sekretariat MINDS’20 dengan kerjasama MPP dan pengurusan universiti.
“Pihak kami bersyukur apabila perjalanan MINDS’20 berjaya dilaksanakan dengan lancar.
“Pelaksanaan PdP dalam talian juga memerlukan kerjasama semua mahasiswa untuk kekal aktif berinteraksi bersama pensyarah dan rakan-rakan mahasiswa semasa sesi kuliah.
“Semoga mahasiswa dapat mengambil hikmah atas setiap perkara yang berlaku dan dapat mengadaptasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan norma baharu ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun PdP secara dalam talian, masih ada banyak lagi program menarik yang dianjurkan pihak UMP yang boleh melibatkan diri secara dalam talian.
“Nasihat saya agar mahasiswa teruskan bertanya soalan seperti biasa kepada pensyarah dan gunakan sepenuhnya chat box untuk berdiskusi bersama rakan-rakan pelajar ketika sesi kuliah.
“Pastikan selalu mengulang kaji pelajaran kerana faktor pengajian jarak jauh pastinya cabaran besar buat semua mahasiswa.
“Mahasiswa juga perlu sentiasa berhubung dengan Penasihat Akademik ataupun MPP terutamanya bagi yang mempunyai masalah akses internet di rumah mereka boleh mendapatkan bantuan yang disediakan oleh pihak universiti,” katanya.
Paling penting ujarnya, sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta melaksanakan aktiviti yang berfaedah dan produktif di mana sahaja berada.
- 171 views