Pasukan UMPBot cipta robot
Kuala Lumpur - Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya mencipta robot yang hanya mengambil masa dalam tempoh tiga bulan bermula dengan proses membina dan menyiapkan robot untuk dipertandingkan dalam ROBOCON 2018 yang telah berlangsung di Dewan Seri Sarjana, UNITEN, Bangi baru-baru ini. Mereka terdiri daripada 16 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), lima mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan dua mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM)
Pengarah program, Asril Aizal bin Mohd Roslan, 23 tahun dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) berkata, dalam menjayakan robot yang ingin dicipta, ianya memerlukan ketahanan mental, fizikal serta pengorbanan masa di samping disiplin diri setiap yang terlibat dalam pembangunan robot ini selain dapat bekerja dalam satu pasukan.
Menurutnya, UMP pernah menyertai pertandingan ROBOCON pada tahun 2013 dan ini menyuntik semangat pasukan UMPBot untuk mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. “Kita mula menjalani latihan sejak cuti semester pertama. Walaupun pada peringkat awal hanya segelintir sahaja memberi komitmen, namun sebelum semester 2 bermula masing – masing ahli pasukan seramai 23 orang ini memberi kerjasama yang sangat positif,” katanya
Tambahnya, dalam pertandingan ini, masa untuk tindak balas dengan pasukan lawan, menepati peraturan pertandingan dan ketepatan masa serta cara lontaran oleh robot diambil kira dan dinilai.
Bagi Asril, walaupun pasukannya tidak berjaya memenangi sebarang hadiah, pengalaman yang ditimba mencetuskan semangat. UMPBot berazam agar dapat menyertai dan memenangi ROBOCON 2019 di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Penasihat UMPBot, Dr. Saifudin Razali berkata, penyertaan mahasiswa dalam petandingan ini dapat memberi pendedahan mengenai pembangunan robot serta merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 dalam peluasan aplikasi digital serta gerbang maya dan automasi.
Pertandingan dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini seiring dengan Revolusi Industri 4.0 bagi melahirkan bakat mahasiswa serta merancakkan landskap robotik di negara ini.
Majlis perasmian ROBOCON Malaysia 2018 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusof.
Sebanyak 36 pasukan membabitkan universiti awam dan swasta, Institut Latihan Perindustrian, Pusat Teknologi Tinggi dan Institut Kemahiran Mara menyertai pertandingan yang mula diperkenalkan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) pada 2002.
Dalam pertandingan ini, pasukan UTM A, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan sebagai Juara RoBOCON peringkat kebangsaan yang berlangsung di UNITEN, Bangi sekaligus melayakkan UTM mewakili Malaysia pada pertandingan ABU ROBOCON peringkat antarabangsa pada Ogos ini di Vietnam. Naib juara dimenangi UTM B manakala tempat ketiga masing-masing menjadi milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Universiti TATI.
Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC
- 127 views