Pelajar empower Cemerlang SPM
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM), Adilah A/p Adi pelajar Asli yang merupakan salah seorang peserta Empower ECER-UMP di SMK Lepar berjaya mendapat 6A dalam pengumuman SPM semalam.
Anak kepada pasangan Gayah Wahab,35 dan Adi A/L Man,37 ini amat gembira dan tidak menyangka dengan kejayaan ini memandangkan semasa percubaan dahulu hanya mendapat 4A sahaja. Namun dengan bantuan dan dorongan guru SMK Lepar ini banyak memberi manfaat kepadanya dan rakan-rakan.
Beliau turut berkongsi tip kejayaannya iaitu dengan tidur awal dan bangun untuk mengulang kaji seawal jam 2 pagi banyak membantunya menguasai pelajarannya.
“Saya berhasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan pendidikan agar mencapai cita-cita sebagai guru,” katanya.
Manakala ibunya pula berkata, beliau mengharapkan Adila dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan menjadi contoh kepada adik-adiknya untuk mengubah taraf kehidupan
Demikian juga dengan Azni a/l Mohammad dari SMK Paloh Hinai memperoleh keputusan 6A merupakan peserta program empower ECERDC. Beliau merupakan Pelajar Asli yang tinggal di Kampung Melai Tasik Chini.
Sementara itu, Najwa Sophia Abdullah Adnan turut raih kejayaan cemerlang dengan mengharumkan nama sekolah apabila memperoleh semua (8A) dalam SPM. Baginya dorongan guru dan penggunaan bahan rujukan seperti membaca akhbar, YouTube dan lain- lain banyak membantu dan sebagai sokongan dalam mengulangkaji.
Mereka ini adalah antara pelajar yang mengikuti program empower akademik yang merupakan satu program usahama UMP Advanced dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Menurut Pengurus Jabatan Sosioekonomi & Projek Khas UMP Advanced, Shamsulkahar Abdul Shukor berkata, sejak tahun 2011 hingga 2018 seramai 10,915 murid tingkatan 5, tingkatan 3 dan tahun 6 dari daerah Kuantan, Pekan dan Bera dipilih mengikuti program ini.
Mereka adalah daripada sekolah pinggir dan luar bandar termasuk beberapa sekolah rendah yang terdiri daripada murid-murid daripada golongan B40 yang telah mengikuti program khusus bagi pembelajaran akademik dan pembelajaran luar kelas.
“Program empower Akademik ini telah berjaya memberi impak yang cemerlang dan mencapai matlamat, di antaranya peningkatan Gred Purata Murid & Sekolah serta peningkatan pencapaian gred,” katanya.
Bagi tahun 2017, seramai 270 pelajar empower sekitar Bera, Kuantan dan Pekan terlibat dalam program ini. Antaranya SMK Tg. Lumpur, SMK Sg. Soi, SMK Seri Mahkota, SMK Lepar, SMK Dato' Mahmud Mat dan SMK Paloh Hinai. Lain-lain SMK Mengkarak, SMK Bandar Kerayong dan SMK Kemayan.