Pelajar UMP raih Anugerah Khas Innovate Malaysia Excellent Award
KUANTAN, 9 Ogos 2021 - Pelajar Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Lim Wei Jie dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Innovate Malaysia Excellent Award 2021 dan mendapat tempat pertama Intel Technology Track di pertandingan Innovate Malaysia Design Competition dalam acara yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
Berikutan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan, kajian penyelidikan bertajuk COVID-19 Mandatory Self-Quarantine Wearable Device for Authority Monitoring with Edge AI Reporting & Flagging System di bawah seliaan pensyarah KKEJ, Profesor Madya Dr. Nor Maniha Abdul Ghani itu dibangunkan bagi memudahkan kerja pemantauan dan penyiasatan terhadap kes langgar perintah kuarantin wajib di rumah oleh pihak berkuasa secara dalam talian.
Ia sekaligus dapat mencegah atau memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang sedang melanda negara.
Menurut Lim Wei Jie, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menghalang beliau menyiapkan kajian ini pada bulan lalu setelah mengemukakan kertas kerja pada bulan November 2020.
“Kajian ini berkisar tentang individu yang perlu dikuarantin atau pulang dari luar negara yang akan mendaftar maklumat peribadi dan mengambil gambar semasa pendaftaran.
“Sistem ini mengandungi aplikasi Healthcare-Monitoring-Isolation (HEISM) iaitu merujuk kepada individu yang sedang kuarantin, aplikasi Isolation Wearable Tracing App (CTRACE) untuk kegunaan masyarakat dan HEISM Monitoring Dashboard bagi pihak berkuasa.
“Aplikasi HEISM Monitoring Dashboard ini akan membantu dalam melaksanakan Edge AI Face Recognition terhadap gambar individu semasa pendaftaran,” katanya.
Tambahnya, individu yang hendak dikuarantin akan mendapat satu alatan boleh pakai (wearable) yang akan menggantikan gelang dan boleh dihubungkan dengan aplikasi HEISM di telefon bimbit individu tersebut menggunakan teknologi Bluetooth.
“Semasa sedang kuarantin di rumah, individu tersebut perlu memuat naik gambar swafoto (selfie), melaporkan status kesihatan dan memberikan maklumat lokasi semasa pada selang masa tertentu melalui aplikasi HEISM di telefon bimbit masing-masing.
“Melalui status kesihatan yang dilaporkan oleh individu kuarantin secara berkala, kadar oksigen boleh dipantau melalui penderia oksimeter pada alatan wearable yang berkos rendah ini.
“Ini dapat mengurangkan kadar kes kematian secara brought in dead (BID) ke hospital seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
Manakala menurut Profesor Madya Dr. Maniha, segala maklumat atau data ini akan dipaparkan di HEISM Monitoring Dashboard untuk pemantauan pihak berkuasa.
“Laporan akan dipaparkan secara automatik melalui aplikasi HEISM jika individu yang hendak dikuarantin tidak melakukan pemeriksaan berkala atau terdapat kes langgar kuarantin.
“Pihak kami amat mengharapkan dapat bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui aplikasi MySejahtera dan pihak berkuasa dapat memantau secara masa nyata (real-time) bagi individu yang melanggar perintah kuarantin wajib,” ujarnya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang aplikasi ini, Profesor Madya Dr. Maniha boleh dihubungi menerusi e-mel normaniha@ump.edu.my.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 155 views