Skip to main content

Pelajar UMPSA terima Dermasiswa B40 TVET

PEKAN, 27 Ogos 2026 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurina Batrisyia Mohd Reduan yang mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal tidak menyangka menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ke rumah keluarganya di Tanjung Selangor, Pekan harı ini. 

Lebih bermakna hari ini Nurina sekeluarga teruja apabila menerima Dermasiswa B40 TVET dan beliau merupakan antara 20 pelajar Diploma UMPSA yang menerima manfaat di bawah Dermasiswa B40 TVET bagi pelajar Diploma UMPSA.

Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry hadir menyampaikan sumbangan. 

Turut serta Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias. 

Bagi Nurina yang merupakan anak pasangan kepada Mohd Reduan Abd Razak, 43 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Norhasliza Mohamad@Hashim, 43, suri rumah sebelum ini turut menerima Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA berjumlah RM1,000 bagi membantu persediaan awal melanjutkan pengajian.

Pelajar UMPSA terima Dermasiswa B40 TVET

Menurut Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memberi perhatian kepada kebajikan mahasiswa, terutama mereka yang memerlukan sokongan agar dapat meneruskan pengajian dengan baik.

“Kita tidak mahu kekangan hidup menjadi penghalang kepada anak-anak kita untuk menuntut ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.  

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, Nurina turut menerima bantuan berbentuk Kupon eKasih, Kupon Campus Pantry, bakul makanan Yayasan UMPSA serta sebuah komputer riba bagi memastikan keperluan asas dan pembelajarannya dapat dipenuhi sepanjang berada di universiti.

“Dermasiswa ini meliputi pembiayaan yuran pengajian sepenuhnya serta bantuan sara diri, sekali gus dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga sepanjang tempoh pengajian.

“Selain itu, inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat akses kepada pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan 
“Melalui pendekatan kebajikan yang menyeluruh, UMPSA bersama Yayasan UMPSA turut berperanan memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa dengan menyediakan bantuan pendidikan, keperluan makanan, kemudahan pembelajaran dan sokongan sara hidup kepada pelajar yang memerlukan,” katanya. 

Usaha ini juga selaras dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan TVET berkualiti, berdaya saing dan berkemahiran tinggi, di samping memastikan setiap pelajar mempunyai peluang untuk berjaya dan merealisasikan impian mereka.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri