Skip to main content

Pelajar UMPSA timba inspirasi kerjaya bersama Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran

PEKAN, 26 Julai 2026 – Seramai kira-kira 150 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai Program Bicara Motivasi Kerjaya bertajuk Stand Out, Get Hired yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan hari ini.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai persediaan menghadapi alam pekerjaan di samping meningkatkan keyakinan diri, kemahiran insaniah dan daya saing graduan selaras dengan keperluan industri semasa.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh yang menyampaikan ucapan aluan dan menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar atas kesudian berkongsi pengalaman serta pandangan yang bernilai kepada para pelajar UMPSA.

Menurutnya program seumpama itu amat penting dalam membantu pelajar memahami kehendak industri dan mempersiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

“UMPSA sentiasa komited dalam melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya saing melalui pelbagai inisiatif pembangunan pelajar. Pendedahan secara langsung daripada tokoh yang berpengalaman seperti Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar dapat memberi inspirasi serta membuka perspektif baharu kepada pelajar dalam merancang masa depan kerjaya mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi perkongsian yang berlangsung secara interaktif, Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMPSA menegaskan bahawa kecemerlangan akademik perlu diseimbangkan dengan pembangunan sahsiah, kemahiran komunikasi, kepimpinan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan yang semakin mencabar.

Pelajar UMPSA timba inspirasi kerjaya bersama Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran

Katanya, majikan masa kini bukan sahaja mencari graduan yang cemerlang dalam akademik, malah individu yang mempunyai nilai tambah, mampu bekerja dalam pasukan, berfikiran kritis dan sentiasa bersedia untuk mempelajari perkara baharu.

“Untuk menonjol dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, pelajar perlu berani keluar daripada zon selesa, membina keyakinan diri, memperkukuh kemahiran dan sentiasa merebut peluang yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai ciri-ciri graduan yang menjadi pilihan majikan selain menggalakkan pelajar membina jaringan profesional sejak di bangku universiti dan memanfaatkan setiap peluang yang tersedia untuk meningkatkan kompetensi diri.

Program tersebut turut memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab yang menyentuh pelbagai aspek pembangunan kerjaya, kebolehpasaran graduan serta cabaran yang bakal dihadapi selepas menamatkan pengajian.

Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi platform yang memberi inspirasi kepada para pelajar untuk lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan, seterusnya melahirkan graduan UMPSA yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri