Skip to main content

Pelantikan kepimpinan baharu PGA UMPSA perkasakan mahasiswa pascasiswazah

KUANTAN, 24 Mac 2025 – Seramai 15 pelajar pascasiswazah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima amanah sebagai barisan kepimpinan baharu Persatuan Pascasiswazah UMPSA (PGA) bagi sesi 2025 dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan PGA UMPSA baru-baru ini. 

Majlis yang berlangsung di Swiss-Belhotel, Kuantan itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Turut sama hadir Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohamad Faizal Che Ku Yahya serta barisan dekan-dekan fakulti.

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad menekankan tentang kepentingan PGA dalam memperkukuh hubungan antara pelajar pascasiswazah dan universiti.

Pelantikan kepimpinan baharu PGA UMPSA perkasakan mahasiswa pascasiswazah

“PGA bukan sekadar platform kepimpinan tetapi juga pemangkin kepada keterlibatan aktif pelajar dalam akademik, penyelidikan dan pembangunan sahsiah. 

“Barisan kepimpinan ini juga bukan sahaja berperanan di dalam kampus tetapi juga merupakan duta UMPSA pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar kepimpinan baharu PGA dapat terus merancang program yang berimpak tinggi dan memanfaatkan ekosistem akademik UMPSA ke arah kecemerlangan global.

“Universiti sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada PGA bagi memastikan program dan aktiviti yang dianjurkan dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan akademik dan profesional pelajar. 

“Malah, saya juga terbuka untuk menerima kunjungan daripada barisan PGA pada bila-bila masa bagi membincangkan sebarang inisiatif atau cabaran yang dihadapi oleh persatuan.

“Penglibatan pelajar dalam aktiviti PGA bukan sahaja meningkatkan keterampilan diri, tetapi juga membentuk keperibadian yang lebih holistik dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Beliau juga yakin dengan kepimpinan baharu ini, PGA akan terus berkembang dan menjadi wadah terbaik bagi membangunkan potensi pelajar pascasiswazah. 

Pada masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohamad Faizal turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu yang telah berjaya menggerakkan pelbagai inisiatif bagi kesejahteraan komuniti pascasiswazah.

Pelantikan kepimpinan baharu PGA UMPSA perkasakan mahasiswa pascasiswazah

“Saya amat berbangga dengan dedikasi dan usaha PGA dalam membantu melahirkan mahasiswa pascasiswazah yang lebih berdaya saing, memiliki keterampilan kepimpinan serta keupayaan untuk memberi impak positif kepada mahasiswa serta masyarakat,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru barisan kepimpinan baharu yang diterajui oleh Saudara Ahmad Hafizi Awang sebagai Presiden PGA UMPSA 2025 untuk terus komited dalam menjayakan agenda persatuan selari dengan visi dan misi UMPSA.

PGA dijangka terus memainkan peranan dalam menganjurkan program pembangunan kemahiran kepimpinan, penyelidikan, serta khidmat komuniti bagi memperkukuhkan pengalaman pembelajaran pelajar pascasiswazah.

Disediakan Oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Institut Pengajian Siswazah

Reports by:
ainaa adhreena