Skip to main content
Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor tingkat kecemerlangan UMPSA

Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor tingkat kecemerlangan UMPSA

PEKAN, 21 Oktober 2026 - Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi simbol kecemerlangan akademik dan daya saing UMPSA dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tuanku Canselor UMPSA berkenan berangkat menyempurnakan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan prasarana universiti, sekali gus menjadi simbol aspirasi dan kecemerlangan akademik seiring dengan pembangunan universiti ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak, Wakil rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.

Turut serta Timbalan Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor tingkat kecemerlangan UMPSA

Dalam masa yang sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, turut berkenan dilantik semula sebagai Canselor UMPSA. 

Hadir menyampaikan watikah, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, pemasyhuran DTC bukan sahaja menandakan satu fasa penting dalam pembangunan fizikal universiti, malah membawa simbolik yang mendalam terhadap identiti dan aspirasi UMPSA.

“Reka bentuk seni bina dewan itu diinspirasikan daripada Wau Pungguk, warisan tradisional yang mempunyai kaitan dengan Pekan, Pahang, dan dipercayai berasal dari Kampung Melati di daerah berkenaan.

“Wau sejak dahulu bukan sekadar permainan tradisional. 

“Ia menggambarkan seni, ketelitian, keseimbangan dan kebijaksanaan masyarakat dalam menghasilkan sesuatu yang mampu terbang tinggi, namun tetap mempunyai asas dan pegangan yang kukuh.

“Kita mahu UMPSA bergerak jauh ke peringkat antarabangsa, tetapi tetap membawa bersama nilai, budaya dan jati diri negeri Pahang serta Malaysia,” ujarnya. 

Katanya, meski menggapai di langit, tetapi tetap mengakar di bumi. 

“Malahan, UMPSA terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknikal terbaik dalam kalangan MTUN yang mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Menjelang sambutan Jubli Perak universiti pada tahun 2027, kecemerlangan penyelidikan universiti turut terserlah apabila seramai 27 penyelidik UMPSA tersenarai dalam kelompok World’s Top 2% Scientists 2026 berdasarkan data terbaharu yang dikeluarkan oleh Elsevier BV dan Stanford University.

“Pengiktirafan ini menjadi dorongan kepada UMPSA untuk terus mempertingkat kualiti pendidikan, menghasilkan inovasi yang memberi manfaat dan melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Pahang, Malaysia serta masyarakat global,” katanya.

Dalam memperkukuh kedudukan universiti, UMPSA turut melaksanakan transformasi struktur akademik menerusi penaiktarafan beberapa entiti kepada fakulti, antaranya Akademi TVET Termaju, Institut Pengajian Integrasi Termaju (IAIS) serta Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan. 

Langkah itu bertujuan memperkukuh mandat akademik dan penyelidikan, selain memastikan universiti lebih bersedia memenuhi keperluan industri serta menghadapi perubahan teknologi dan cabaran masa hadapan.

Selain itu, UMPSA juga memperluas ekosistem penyelidikan dan inovasi menerusi penubuhan beberapa Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence), termasuk Pusat Teknologi Aeroangkasa, Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF), Pusat Infrastruktur Berdaya Tahan Iklim serta Center for Rare Earth & Critical Mineral.

Manakala bagi bidang Aeroangkasa, kepakaran UMPSA merangkumi pembangunan teknologi roket, dron dan sistem kejuruteraan berkaitan.

Antaranya ialah R.A.I.D. (Rocket Assisted Interceptor Drone), iaitu dron pemintas yang direka untuk memintas dron musuh atau dron tanpa kebenaran, yang turut dipamerkan pada pameran Defence Services Asia (DSA) 2026.

Malah kata Profesor Ts. Dr. Yatimah, UMPSA turut bekerjasama dengan Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB) dalam pembangunan Pahang Aerospace City, termasuk perancangan berkaitan landasan udara Lanjut dan pembangunan Space Hub di Kampus Pekan yang dirancang menempatkan 15 makmal serta kemudahan ujian khusus.

“Sebagai institusi yang membawa nama negeri Pahang, UMPSA terus memperkukuh sumbangan terhadap pembangunan ekonomi, teknologi, komuniti dan pemeliharaan warisan negeri.

“Antara usaha yang dilaksanakan ialah penyelidikan dan pemuliharaan Bunga Pekan, atau nama saintifiknya Thunbergia fragrans, menerusi Pusat Penyelidikan Bioaromatik UMPSA dengan sokongan Majlis Biodiversiti Pahang.

“Dalam pembangunan komuniti pula, sebanyak 21 projek baharu berasaskan hasil penyelidikan dan inovasi telah dilaksanakan pada tahun 2026, melibatkan pemindahan ilmu dan teknologi dengan kerjasama industri serta komuniti,” ujarnya. 

Katanya, daripada keseluruhan penerima manfaat, sebanyak 91 peratus merupakan rakyat negeri Pahang.

“Kepakaran penyelidikan universiti turut dimanfaatkan dalam bidang sukan menerusi pembangunan teknologi latihan seperti RimauStrike dan Spike Trainer bagi sepak takraw, serta MyMOOVE untuk analisis ayunan golf dan Stability Board bagi latihan keseimbangan atlet sukan perahu layar.

“Dalam bidang pendidikan antarabangsa, UMPSA turut memperkukuh program ijazah dual dengan universiti rakan di Jerman, China, Kazakhstan dan Korea Selatan bagi memberikan pendedahan global serta pengalaman pembelajaran antarabangsa kepada mahasiswa.

“Pembangunan universiti perlu bergerak seiring dengan usaha memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara, khususnya dalam memperluas akses pendidikan dan membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan,” ujarnya. 

Justeru, UMPSA menyediakan bantuan awal pendidikan berjumlah RM230,000 untuk mahasiswa baharu serta RM1 juta bagi bantuan zakat pelajar bagi Sesi Akademik 2026/2027.

Universiti turut memperkenalkan Biasiswa Ulul Albab menerusi Endowmen Tuanku Canselor bagi menyokong kecemerlangan mahasiswa yang menghafaz 30 juzuk dan 20 juzuk al-Quran, selain pengurniaan Biasiswa Sulung daripada Kementerian Pendidikan Tinggi khusus untuk anak-anak Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, kerjasama strategik antara UMPSA, Wakaf Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut diperkukuh menerusi pelaksanaan lapan inisiatif wakaf projek dan satu inisiatif wakaf tunai.

Majlis turut menyaksikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Endowmen Tuanku Canselor, melibatkan Maybank Islamic sebanyak RM200,000, MUIP sebanyak RM300,000 dan Lembaga Tabung Haji sebanyak RM500,000.

Pihaknya menghargai sokongan industri, alumni dan rakan strategik bagi memastikan kelangsungan usaha universiti dalam menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik serta memperkukuh pembangunan mahasiswa.

DTC dijangka menjadi lokasi penting bagi meraikan kejayaan warga universiti, termasuk 3,345 bakal graduan yang dijadualkan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen akan datang.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri