Pembelajaran MBA : Pemimpin perniagaan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi
Sebagai usaha menggalakkan golongan profesional yang bekerja di syarikat atau industri melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menawarkan program pengajian dengan sepenuh masa dan separuh masa di industri.
Tawaran ini membolehkan penuntut menjalankan penyelidikan di industri mengikut bidang penyelidikan berkaitan di bawah seliaan pensyarah berpengalaman yang secara tidak langsung dapat mewujudkan hubungan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam menyediakan platform melahirkan pakar, peluang pekerjaan dan penerokaan pelbagai kajian serta penyelidikan.
Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridzuan Darun berkata, universiti memfokuskan terhadap penyelidikan yang bersifat praktikal selain menawarkan program-program kejuruteraan dan teknologi berdaya saing yang dilengkapi dengan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini.
“Kami komited terhadap pembangunan modal insan berteraskan teknologi yang dapat mencapai hasrat untuk memenuhi keperluan industri dan pada masa sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Bagi memenuhi keperluan sumber manusia negara, pembangunan program profesional dalam bidang kejuruteraan dan teknologi juga dijalankan dengan kerjasama universiti luar negara termasuk Jerman dan Amerika Syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, program pascasiswazah di industri memberi peluang kepada pihak industri dan badan-badan koporat untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Misalannya Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) yang ditawarkan di FIM menggabungkan teori, amalan dunia sebenar dan pengalaman peribadi untuk membangunkan pemimpin yang dapat menangani masalah yang kompleks, baik secara sistematik dan kreatif untuk meningkatkan amalan perniagaan dan pengurusan.
“MBA ini disesuaikan untuk para profesional yang mahu mengorakkan kerjaya profesional mereka untuk menjadi pengurus kompeten dan terdapat dua pilihan iaitu dalam kampus dan luar kampus,” katanya.
Menariknya program MBA yang ditawarkan di UMP ini mendapat pengiktirafan apabila menerima sijil akreditasi oleh The Alliance On Business Education and Scholarship For Tomorrow, A 21st Century Organization (ABEST21) iaitu sebuah agensi penarafan global bagi bidang pengurusan dan harta intelek di peringkat pendidikan tinggi yang berpangkalan di Jepun tahun lalu.
Fakulti ini turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Amalan Baik Bagi Pendidikan Bersepadu Pengurusan dan Teknologi oleh ABEST21 setelah pihak mereka berpuas hati dengan kualiti kurikulum dan pendekatan inovatif yang digunakan pihak FIM untuk program akademik tersebut selain memenuhi syarat dan kriteria khusus yang telah ditetapkan oleh badan berkenaan dalam kerangka pengiktirafannya kepada institusi pendidikan tinggi yang berkaitan.
Katanya, pengiktirafan ini dapat melahirkan keyakinan terhadap kualiti program MBA UMP, sekaligus membolehkan capaian pengembangannya diperluas ke rantau Asia Tenggara melalui inisiatif Global Classroom atau Kuliah Pembelajaran Global yang telah pun dimulakan bersama Universitas Brawijaya di Indonesia.
Begitu juga dalam meningkatkan pengetahuan tadbir urus dan integriti yang lebih berkesan, UMP dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP) telah menubuhkan “FIM Governance & Integrity Centre (FGIC)” bermatlamat mendidik masyarakat agar menghayati isu etika dan integriti dalam proses pembangunan negara. Antara yang diadakan FGIC adalah melaksanakan proses latihan, penyelidikan, penerbitan dan kempen kesedaran.
Dalam pada UMP turut mempunyai kemudahan FIM Learning Factory yang merupakan pusat pembangunan pelajar bagi mendapat pengalaman sebenar dalam bidang industri dan perkilangan. Kemudahan ini memberi nilai tambah kepada pelajar berdepan dengan suasana sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak. Maklumat lanjut mengenai pengajian layari http://ips.ump.edu.my.
Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat Pejabat Naib Canselor