Pemimpin Akademik hebat bukan sekadar mengurus, tetapi menginspirasi
PEKAN, 27 Ogos 2026 – Kepimpinan akademik yang berkesan bukan sekadar bergantung kepada keupayaan seseorang pemimpin mengurus prestasi dan sistem, tetapi turut menuntut kebolehan membina hubungan, mempengaruhi serta memberi inspirasi kepada warga institusi.
Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Ab Razak berkata, pemimpin akademik perlu memiliki keseimbangan antara keupayaan teknikal dalam melaksanakan tanggungjawab dengan kekuatan hubungan manusia bagi memastikan hala tuju organisasi dapat dicapai bersama.
“Kepimpinan bukan hanya tentang apa yang perlu dicapai, tetapi bagaimana kita membawa orang lain bersama-sama untuk mencapai matlamat tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi mengenai kepimpinan akademik dalam ceramahnya yang bertajuk ‘Not Everyone Leads: Do You Have What It Takes, 3H Head Heart Hand’ yang mengetengahkan tiga aspek utama iaitu Instructional Leadership, Inquiry & Innovation dan Institutional Leadership dalam Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur Tahun 2026.

Program yang berlangsung di Dewan Konvokesyen, UMPSA Pekan itu merupakan anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan juga UMPSA.
Menurutnya, Instructional Leadership memberi tumpuan kepada kompetensi pengajaran dan pembelajaran dalam bidang akademik, manakala Inquiry & Innovation pula menekankan keupayaan membina serta memimpin bidang penyelidikan yang berasaskan budaya penerokaan dan inovasi.
“Institutional Leadership pula melibatkan kompetensi pengurusan yang penting bagi menentukan dan memacu hala tuju strategik sesebuah institusi.
“Ketiga-tiga elemen ini saling melengkapi kerana seorang pemimpin akademik bukan sahaja perlu mempunyai kepakaran dalam bidangnya, tetapi juga berupaya melihat gambaran yang lebih besar dan menggerakkan warga institusi ke arah visi yang sama,” katanya.
Mengulas aspek kepimpinan, beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara ‘hard side’ dan ‘soft side’ dalam kepimpinan.
Jelasnya, hard side merangkumi aspek teknikal dan fungsi seperti prestasi, sistem serta hasil yang perlu dicapai, manakala soft side pula berkaitan keupayaan seseorang pemimpin mempengaruhi, membina hubungan dan memberi inspirasi kepada orang lain.
“Pemimpin yang hanya menumpukan kepada hasil tanpa mengambil kira aspek manusia mungkin mampu mencapai sasaran, namun kepimpinan yang benar-benar memberi kesan ialah apabila pencapaian itu turut disertai kepercayaan, komitmen dan kesediaan warga untuk bergerak bersama.
“Malah, pemimpin yang hebat juga perlu mempunyai visi yang jelas mengenai hala tuju yang ingin dicapai selain mampu menjadi sumber inspirasi kepada orang lain melalui teladan yang ditunjukkan.
“Pemimpin yang mempunyai visi mampu melihat ke mana organisasi perlu dibawa, manakala pemimpin yang memberi inspirasi pula mampu mendorong orang lain untuk memberikan yang terbaik,” tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, kepimpinan akademik perlu dilihat sebagai satu proses membangunkan manusia, memperkukuh budaya ilmu dan pada masa sama memastikan institusi terus bergerak secara strategik dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi.
“Akhirnya, kepimpinan yang hebat bukan hanya diukur melalui apa yang berjaya kita capai, tetapi melalui sejauh mana kita berjaya membawa orang lain untuk berkembang dan mencapai kejayaan bersama,” katanya.

Program ini menjadi platform strategik dalam membentuk barisan pemimpin muda institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi pembangunan kepimpinan dan ruang libat urus yang menghimpunkan pensyarah serta pentadbir muda.
Pendekatan berteraskan perkongsian pengalaman dan dialog strategik itu memberi peluang kepada pemimpin muda IPT untuk memahami landskap pendidikan tinggi dengan lebih menyeluruh, sekali gus memperkukuh kesediaan mereka menggalas tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 74 views
Reports by: