Skip to main content

Penyelidik UMPSA berjaya temui spesis Bunga Pekan

PEKAN, 8 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Penyelidikan Bioaromatik berjaya menemui spesies Bunga Pekan yang menjadi inspirasi bagi nama Bandar Pekan Bandar Diraja dalam usaha memperkukuh peranannya terhadap usaha pemeliharaan warisan negara.

Mengikut cerita masyarakat terdahulu, Bandar Pekan mendapat namanya daripada sejenis bunga yang dikenali sebagai Bunga Pekan yang suatu ketika dahulu tumbuh menjalar dengan subur di sepanjang tebing Sungai Pahang.

Selain bunganya yang berwarna putih menyerupai bunga melur menjadi sebahagian daripada landskap semula jadi bandar itu, namun spesies tersebut semakin sukar ditemui sehingga hampir pupus.

Menyedari kepentingan memelihara warisan ini, pasukan penyelidik Pusat Penyelidikan Bioaromatik UMPSA diketuai oleh Chm. Dr. Aini Norhidayah Mohamed yang merupakan pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), telah menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti spesies sebenar bunga tersebut sejak setahun lalu.

Penyelidik UMPSA berjaya temui spesis Bunga Pekan

Menurut Chm. Dr. Aini Norhidayah, spesies yang dikenal pasti ini adalah Thunbergia Fragrans, iaitu tumbuhan memanjat yang mempunyai bunga putih bersih dengan lima kelopak tersusun kemas dan lazimnya tumbuh di kawasan berpagar, tepi jalan serta di sepanjang tebing sungai.

"Walaupun kelihatan seperti bunga biasa, Bunga Pekan mempunyai nilai sejarah dan simbolik yang tinggi kerana dipercayai berkait rapat dengan asal usul nama Bandar Pekan.

“Pemuliharaan spesies ini bukan sahaja penting dari sudut biodiversiti, malah turut memelihara identiti dan warisan budaya masyarakat setempat," katanya yang membentangkan hasil Projek Bunga Pekan bersempena dengan lawatan Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja hari ini.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPPBDR), Tuan Mohamad Nasir Jusoh yang mengadakan lawatan ke UMPSA hari ini berpeluang mengikuti pembentangan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh pasukan penyelidik UMPSA.

Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai satu inisiatif penting dalam mendokumentasikan serta memulihara khazanah warisan semula jadi yang menjadi identiti Bandar Pekan.

Kehadiran pihak MPPBDR disambut Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan UMPSA, Profesor Ts. Dr. Abdul Adam Abdullah dan Pengarah Pusat Penyelidikan Bioaromatik, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Roshahliza M. Ramli.

Penyelidik UMPSA berjaya temui spesis Bunga Pekan

Menurut Profesor Ts. Dr. Abdul Adam, pelbagai usaha sedang digerakkan bagi memperkukuh penyelidikan, dokumentasi dan penanaman semula spesies Bunga Pekan.

“Usaha ini dapat membantu mencari penyelesaian terhadap kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai spesis Bunga Pekan.

“Jika sebelum ini identiti botani tumbuhan ini masih kabur sehingga terdapat kesilapan dalam pengecaman spesis dan kekurangan specimen sehingga menjejaskan usaha pemuliharaan dan pengenalan semula tumbuhan ini.

“Justeru, kerjasama strategik antara UMPSA dan MPPBDR akan memastikan spesies ini terus dipelihara serta diperkenalkan semula kepada masyarakat sebagai sebahagian daripada warisan negara,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, penyelidikan yang dijalankan melibatkan pencarian habitat asal Bunga Pekan di sekitar daerah Pekan, pengesahan spesies menggunakan kaedah DNA barcoding, percubaan penanaman, pembiakan serta penjagaan anak pokok sehingga berjaya menghasilkan lebih 100 polybag Bunga Pekan yang kini telah matang. 

Penemuan ini turut menjelaskan kepentingan sejarah dan budaya Bunga Pekan yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan asal usul nama Bandar Pekan selain menjadi simbol identiti masyarakat setempat dan warisan negeri Pahang.

Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak turut meneliti cadangan pelaksanaan Fasa 2 projek yang melibatkan penghantaran spesimen ke Malaysian Biodiversity Information System (MyBIS), pengisytiharan Bunga Pekan sebagai Bunga Rasmi Bandar Diraja Pekan serta usaha pewartaannya sebagai Objek Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Selain itu, pertemuan itu juga turut membincangkan mengenai kepakaran UMPSA dalam penghasilan produk baja probiotik dan prebiotik inovasi UMPSA, teknologi dron dalam pertanian, Sistem Pengairan Automasi dan lain-lain. 
 
Hadir sama menyertai delegasi MPPBDR, Setiausahanya, TPr Hajah Zuraidah Abdul Majid, Akauntan, Nor Fazliana Abu Bakar, Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Amaluddin Abdullah, Ketua Bahagian Landskap, Ahmad Azizul Rahim Ahmad Abdul Aziz serta Ketua Jabatan Perhubungan Awam dan Komuniti, Norsila Kadir.
 
Turut serta, Felo Pusat Bioaromatik dan Pensyarah Fakulti Teknologoi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Siti Hajar Noor Shaarani, Felo Penyelidik Pusat Bioaromatik dan Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas, Penolomg Jurutera, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) Aluwi Mohd. Sikah dan Pegawai Penyelidik, Pusat Bioaromatik, Hanafi Anuwar.

Kolaborasi antara UMPSA dan MPPBDR ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha pemeliharaan warisan biodiversiti negara, sekali gus mengangkat Bunga Pekan sebagai simbol sejarah, identiti dan kebanggaan Bandar Pekan Bandar Diraja untuk diwarisi oleh generasi masa hadapan.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri