Perniagaan lebih selamat, komuniti lebih sejahtera hasil kerjasama UMPSA-MBK
KUANTAN, 25 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik komuniti apabila menganjurkan Program Modul Latihan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar khusus kepada peniaga pasar malam di sekitar Kuantan baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Bilik Seminar MBK itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peniaga mengenai kepentingan amalan keselamatan, kesihatan pekerjaan serta pemeliharaan alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, bersih dan mampan.
Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai topik penting termasuk pengenalan kepada aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (SHE), penilaian risiko melibatkan hazard fizikal, kimia dan biologi, isu ergonomik serta amalan kerja selamat yang sesuai diaplikasikan dalam operasi perniagaan pasar malam.
Selain meningkatkan kefahaman terhadap pengurusan risiko di tempat kerja, latihan ini turut memberi penekanan kepada langkah mengenal pasti hazard, mengurangkan risiko kemalangan, memastikan kebersihan makanan, mengamalkan postur kerja yang betul serta memupuk budaya kerja yang lebih selamat dalam kalangan peniaga.

Penganjuran program ini selari dengan aspirasi UMPSA untuk memindahkan kepakaran universiti kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, sekali gus menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan dan berkualiti.
Pengarah Program, Dr. Junaidah Zakaria berkata, latihan seumpama ini diharap mampu meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selain membantu mereka mengamalkan prosedur kerja yang lebih sistematik dan berkesan dalam menjalankan perniagaan harian.
Program itu turut dijayakan oleh barisan penceramah berpengalaman yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Hajar Fauzan, Dr. Nur Syafiqah Fauzan, Dr. Wan Norlinda Roshana Mohd. Nawi dan Ts. Hairunnisa Osman yang berkongsi kepakaran dalam bidang keselamatan, kesihatan pekerjaan dan pengurusan alam sekitar.
Mengangkat slogan ‘Keselamatan Hari Ini, Perniagaan Lestari Selamanya’, program tersebut mencerminkan komitmen bersama UMPSA dan MBK dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan peniaga kecil, sekali gus menyumbang kepada kelestarian ekonomi komuniti dan kesejahteraan masyarakat.
Disediakan Oleh: Dr. Nur Syafiqah Fauzan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)
- 68 views
Reports by: