Perpustakaan UMPSA komited dokumentasikan memori kolektif melalui Sejarah Lisan
PEKAN, 20 Mei 2025 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited untuk mendokumentasikan memori kolektif melalui Sejarah Lisan dalam menyokong aktiviti ilmiah dan pemeliharaan warisan pengetahuan yang bersifat holistik.
Justeru, Perpustakaan UMPSA telah menanjurkan Bengkel Pembangunan Sejarah Lisan: Mengabadikan Pengalaman dan Kisah pada 19 dan 20 Mei 2025 bertempat di Bilik Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMPSA Pekan.
Program dua hari itu disertai oleh 25 orang peserta yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran daripada UMPSA, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan staf Arkib Negara Malaysia.
Bengkel itu telah dikendalikan oleh Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Hanis Diyana Kamarudin.
Menurutnya, bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai konsep dan teknik sejarah lisan, selain melatih peserta dalam kaedah pengumpulan, rakaman dan analisis data sejarah lisan secara sistematik dan beretika.
“Ia turut memupuk kesedaran tentang kepentingan mendokumentasikan memori kolektif dan pengalaman peribadi sebagai bahan berharga untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan arkib.
“Para peserta telah menjalankan aktiviti simulasi temu bual secara berkumpulan.
“Sepanjang aktiviti ini, saya turut menilai kaedah pelaksanaan temu bual oleh setiap kumpulan dan memberikan tunjuk ajar serta maklum balas secara langsung bagi memperkukuh kemahiran peserta dalam mengendalikan sesi temu bual sejarah lisan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Bengkel ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta dan mereka menyifatkan pengisian program ini sebagai bermanfaat dan memberi impak besar dalam memperkasa pengetahuan serta kemahiran berkaitan sejarah lisan.
Salah seorang peserta daripada USM Kurator, Setra Ginsim menyifatkan bengkel ini sangat bagus dan bermanfaat.
“Ia bukan sahaja memberi pendedahan yang meluas tentang topik yang dibincangkan, malah turut membuka ruang untuk peserta berkongsi pandangan, meningkatkan kemahiran, dan membina rangkaian kerjasama yang lebih kukuh,” katanya.
Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI, Mohd. Razalli Ahmad Termizi, turut memuji kepakaran penceramah yang pernah menjalankan sesi temu bual bersama tokoh-tokoh terkemuka dalam dan luar negara.
“Bengkel ini sangat bagus kerana penceramah mempunyai pengalaman yang luas, pernah terlibat dengan temu bual tokoh-tokoh terkemuka Malaysia dan juga luar negara,” katanya.
Disediakan Oleh : Noor Fateeha Mohamad dan Amelia Hasan, Perpustakaan UMPSA
- 23 views