Skip to main content

Persidangan Antarabangsa i-Conscience 2025 UMPSA kupas hubungan teknologi, nilai kemanusiaan dan peradaban

KUANTAN, 9 September 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan International Conference on Human Sciences and Civilisations (i-Conscience 2025) pada 9 hingga 10 September 2025 bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan serta secara dalam talian.

Persidangan anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) secara dwitahunan itu merupakan kali yang ketiga dianjurkan selepas kejayaan penganjurannya pada tahun 2020 dan 2023.

Ia menghimpunkan lebih 180 sarjana, penyelidik dan peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu-isu berkaitan hubungan teknologi dengan nilai kemanusiaan, khususnya cabaran etika, budaya dan masyarakat dalam Era Kecerdasan Buatan (AI).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar. 

Turut hadir, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abdul Razak Abu Musa Saari.

Menurut Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im , revolusi industri 4.0 dan kecerdasan buatan membuka peluang besar tetapi juga membawa cabaran yang tidak kecil antaranya etika penggunaan data dan isu keselamatan maklumat, krisis identiti dan akidah serta penyebaran maklumat palsu.

Persidangan Antarabangsa i-Conscience 2025 UMPSA kupas hubungan teknologi, nilai kemanusiaan dan peradaban

“Oleh yang demikian, pihak berkuasa agama memainkan peranan dalam menghadapi cabaran ini.

“Dalam menghadapi cabaran ini, pihak berkuasa agama Islam perlu menggubal garis panduan syariah bagi penggunaan AI, memperkasa kesedaran digital umat Islam dengan kefahaman agama yang kukuh dan memperkukuh kerjasama antara institusi agama, universiti, pusat penyelidikan dan kerajaan supaya teknologi baharu bukan sekadar pemacu ekonomi, tetapi juga medan dakwah, tarbiah dan pengukuhan islam.

“Saya yakin hasil perbincangan sepanjang persidangan ini akan menyumbang kepada perumusan dasar yang lebih bimbang antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan nilai kemanusiaan, serta menitikberatkan kesucian agama,” ujarnya. 

Sementara itu, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran i-Conscience 2025 membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan.

“Sebagai sebuah universiti teknikal, UMPSA bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang Teknologi, malah insan yang beretika, manusiawi serta menyumbang kepada kemajuan sejagat.

“Persidangan ini membuka ruang perbincangan tentang bagaimana teknologi dapat bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan tanpa mengorbankan salah satu daripadanya,” katanya.

Persidangan kali ini menyaksikan 98 pembentang secara bersemuka, 56 pembentang dalam talian dan 30 peserta antarabangsa,dengan topik meliputi peranan kecerdasan buatan dalam pemeliharaan warisan, pendidikan, kefahaman tingkah laku manusia dan usaha mengharmonikan teknologi dengan prinsip kemanusiaan.

UMPSA turut menekankan agenda penyelidikan dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan akan terus diperkukuh, termasuk melalui geran penyelidikan khas dan penerbitan antarabangsa seperti International Journal of Humanities Technology (IJHTC).

Persidangan Antarabangsa i-Conscience 2025 UMPSA kupas hubungan teknologi, nilai kemanusiaan dan peradaban

Sebagai universiti Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) terbaik, penganjuran i-Conscience 2025 diyakini menjadi platform penting yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, penyelidikan dan peradaban manusia sejagat. 

Program tini urut mendapat penyertaan dari agensi luar dan luar negara termasuklah Indonesia dan Brunei.
Turut berlangsung pameran penyelidikan buku untuk para peserta.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri