Persidangan Antarabangsa ICoLLT Tumpu Bidang Pembelajaran Bahasa Global
Pekan, 6 Julai - Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) menganjurkan 2nd International Conference of Language Learning and Teaching (ICoLLT 2018) baru-baru ini yang memfokuskan kajian pembangunan dan inovasi pendidikan bahasa secara global dengan tema inovasi dan cabaran global dalam pendidikan bahasa.
Persidangan menyaksikan lebih 140 kertas pembentangan dibincangkan dan antara tajuk yang menarik perhatian peseerta adalah penggunaan kit N.I.B.T (SK Permatang Badak), Teaching Vocab Through Cartoon (UKM), Tafsir Bahasa Al-Quran untuk Bumi Sphera (UMP & UM) dan Bahasa Isyarat Baru Bagi Orang Pekak (USIM).
Menurut pengarah program Professor Madya Dr. Hasan Ahmad berkata, persidangan ini membolehkan pembentang berkongsi pandangan dan kajian terkini tentang inovasi pendidikan bahasa serta cabaran yang dihadapi dalam perkembangan bahasa global.
“Di samping itu, persidangan ini juga memperkenalkan buat pertama kalinya pertandingan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa dunia yang dinamakan CInTeLL. Ianya tidak tertakluk hanya kepada Bahasa Melayu dan Inggeris sahaja namun melibatkan bahasa utama dunia seperti Sepanyol, Arab, Mandarin, Turki dan Jerman yang mana bahasa ini yang turut ditawarkan kepada pelajar di UMP,” katanya.
Hadir menyampaikan ucaputama persidangan, Dr James McLellan dari Universiti Brunei Darussalam. Lain-lain perkongsian pengalaman dalam bidang pendidikan bahasa seperti Dr Khamimi Zainudin dari USIM, Dr Balazs Huzka dari Jerman dan Fazleen Sa’don, Guru Pakar dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam pada itu, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan persidangan ini pada tahun 2020 dengan pengisian yang lebih menarik selari dengan perkembangan pendidikan bahasa di peringkat tempatan dan antarabangsa. Malahan lebih banyak lagi kertas kerja akan dibentangkan pada masa hadapan.
Disediakan Siti Nur Azwin Zulkapri dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 105 views