PERUTUSAN KHAS NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) SEMPENA MAAL HIJRAH 2025/ 1447H
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya, sahabat-sahabat baginda dan para tabiin.
Alhamdulillah, dengan limpah izin-Nya jua, kita masih dipanjangkan usia dan diberi kesempatan untuk menyambut 1 Muharram 1447 Hijrah, suatu permulaan Tahun Baharu dalam kalendar Islam yang penuh dengan hikmah.
Kisah Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi sebuah transformasi menyeluruh dalam membina tamadun berteraskan ilmu, akhlak, perpaduan dan kepimpinan yang berwawasan.
Mengambil iktibar dari penghijrahan Rasulullah SAW, marilah kita bersama-sama menanam azam di Tahun Baharu ini untuk melaksanakan perubahan untuk menjadi insan yang lebih baik.
Sesungguhnya dengan semangat inilah yang harus kita hayati dalam kehidupan seharian dalam menunaikan tanggungjawab kita sebagai pekerja, khususnya sebagai warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Warga UMPSA yang saya kasihi,
Izinkan saya berkongsi kisah kejayaan universiti yang kita capai baru-baru ini.
UMPSA membarisi senarai universiti ke-609 terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR) 2026. Kedudukan ini mengekalkan kedudukan UMPSA sebagai universiti teknikal nombor 1 terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Lebih membanggakan bagi petunjuk sitasi per fakulti UMPSA berada di kedudukan kedua terbaik di Malaysia. Indikasi ini menunjukkan karya penyelidikan dari fakulti di UMPSA berkualiti dan sering dirujuk dalam penerbitan akademik lain.
Pada masa yang sama, UMPSA juga diiktiraf 101-200 terbaik dunia dalam penarafan Times Higher Education Impact Rankings (THEIR) 2025 yang menilai penglibatan universiti ini berasaskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan komponen utama dinilai adalah penyelidikan, pengurusan, jaringan dan pengajaran.
Ini menjadikan UMPSA berada di kedudukan kelima terbaik di Malaysia dan nombor satu dalam kalangan MTUN.
Menariknya, UMPSA berada di kedudukan pertama di Malaysia bagi SDG7: Tenaga Mampan dan Berpatutan dan di kedudukan ke-18 terbaik dunia.
Justeru, saya dan barisan pengurusan universiti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat seluruh warga UMPSA atas segala komitmen dan kejayaan yang dicapai. Secara tidak langsung menjadi penanda aras penting bagi menarik lebih ramai pelajar termasuk pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke UMPSA.
Warga UMPSA yang saya hormati,
Dalam meneruskan usaha memperkasa Agenda Pengantarabangsaan, UMPSA terus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa apabila termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Hebei University, China (HBU) bagi pelaksanaan program ijazah dual dalam bidang Teknologi Data Raya (Big Data).
Kerjasama ini amat signifikan dalam mendepani permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang data raya.
Kita juga berbangga apabila hubungan strategik UMPSA dan Hebei University kini telah terjalin sejak 15 tahun lalu.
Baru-baru ini, saya juga berpeluang melawat Projek Fertigasi Menjana Ekonomi yang dilaksanakan UMPSA di Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah, Sungai Salan, Jerantut, Pahang di bawah inisiatif Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan-Universiti Awam (Komuniti @UNIMADANI) 2024 yang berjaya menghasilkan hampir empat tan tuaian timun dengan nilai pendapatan mencecah RM8,000 dalam tempoh tujuh hari kutipan.
Saya ingin menzahirkan rasa bangga atas pencapaian projek tersebut yang disifatkannya sebagai bukti keberkesanan pendekatan pendidikan berteraskan komuniti dan kesejahteraan sosioekonomi seiring dengan slogan UMPSA, ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang melibatkan akademia dan staf UMPSA dalam menabur bakti buat golongan yang berkeperluan.
UMPSA dan Yayasan UMPSA juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang dalam menghulurkan sumbangan membantu kebajikan pelajar.
Baru-baru ini juga, kita menerima sumbangan zakat korporat Wakalah Zakat i-Campus kepada pelajar asnaf UMPSA sebanyak RM200,000 daripada PETRONAS Chemicals MTBE Sdn. Bhd.
Untuk makluman, setakat pertengahan tahun 2025, UMPSA telah menyalurkan RM423,900 dalam bentuk bantuan zakat kepada seramai 675 pelajar asnaf yang layak.
Pada tahun sebelumnya, sebanyak RM2.2 juta telah diagihkan kepada pelajar melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuk dermasiswa, biasiswa, bantuan kesihatan, dan sokongan kecemasan.
Warga UMPSA sekalian,
Pasukan Robotik UMPSA daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) turut meraih dua pingat emas dalam pertandingan 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025 yang berlangsung pada 21 hingga 26 Jun 2025 lalu.
Menyemarakkan semangat penyelidikan, UMPSA juga berjaya menganjurkan Hari Terbuka bersempena dengan Hari TVET Negara dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Saya menyeru seluruh warga UMPSA agar menjadikan semangat hijrah ini sebagai inspirasi dalam meneruskan usaha murni kita untuk melahirkan graduan berdaya saing global, memperkasa komuniti melalui ilmu dan inovasi, serta mengekalkan integriti dan akauntabiliti dalam setiap amanah yang dipertanggungjawabkan melalui kemahiran melalui pembudayaan kerja yang berfokuskan SPIROS iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability).
Marilah kita melangkah ke tahun baharu ini dengan azam dan iltizam yang lebih tinggi untuk bersama-sama membina UMPSA sebagai sebuah universiti teknologi terunggul yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah turut unggul dalam membina masyarakat berilmu, beretika dan berintegriti.
Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada minggu hadapan, saya dan seluruh warga UMPSA mengucapkan “Selamat Maju Jaya” dan mendoakan agar diberikan ketenangan dan dipermudahkan sepanjang menduduki peperiksaan.
Saya juga ingin mengucapkan “Selamat Datang” dan selamat menyertai keluarga besar UMPSA bagi pelajar baharu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mendaftar pada 19 Julai depan.
Terima kasih kepada seramai 27,257 calon yang memilih UMPSA sebagai destinasi pengajian tinggi dan tahniah kepada 2,354 pelajar yang berjaya ditawarkan.
Akhir kata, saya dan seluruh kepimpinan universiti mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharam 1447H kepada pelajar, alumni, seluruh warga UMPSA serta rakan strategik universiti.
Semoga tahun baharu ini membawa keberkatan, keselamatan dan kejayaan buat kita semua.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Profesor Dr. Yatimah Alias
Naib Canselor
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 398 views